Oleh: Editorial Penggerak Daily
DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menzahirkan ucapan tahniah dan syabas di atas penerbitan semula akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo yang kembali berada di pasaran hari ini.
Baginda berasa gembira kerana sememangnya telah sekian lama akhbar Utusan Malaysia khususnya, menjadi pilihan Baginda untuk mendapatkan informasi terkini dan rencana-rencana yang mutakhir.
Baginda berharap akhbar Utusan Malaysia akan terus menerbitkan bahan berita yang baik serta mampu menyatukan dan menyemarakkan semangat di kalangan orang Melayu khususnya, dan rakyat Malaysia amnya.
Dalam perkembangan lain, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail juga merakamkan ucapan tahniah atas penerbitan semula akhbar Utusan Malaysia yang kembali berada di pasaran mulai hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin yang gembira dengan perkembangan tersebut juga mengakui bahawa baginda merupakan antara pembaca setia akhbar tersebut sejak kecil sehingga hari ini.
Sehubungan itu, baginda berharap wajah baharu Utusan Malaysia akan dapat menarik minat pembaca daripada semua lapisan masyarakat.
PenggerakDaily
Kredit gambar: Malaysia Dateline