JOHOR BAHRU: Kedatangan Tahun Baharu Cina 2025 pada 29 Januari depan akan menjadi sambutan paling tragis buat Lee Chiew Siang, 31, apabila bukan sahaja kehilangan ibu, tetapi juga adik dan seorang anaknya.
Ketiga-tiga mangsa sekeluarga itu maut dalam satu kebakaran yang dilaporkan berlaku di kediaman mereka di Kampung Oren, Ulu Tiram dekat sini pada pukul 2.46 pagi tadi.
Sementara itu, seorang lagi anak kepada pekerja kedai minuman tersebut turut cedera dan kini sedang ditidurkan di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini.
Chiew Siang memberitahu, dia baharu tamat shif bekerja di Iskandar Puteri sebelum mendapat panggilan pihak hospital pada pukul 4 pagi memintanya datang ke Wad ICU HSI dengan segera.
“Setibanya di sini, saya dapati seorang anak lelaki saya iaitu Chen Yu Rong, 12, sedang dirawat akibat kebakaran. Kemudian saya dimaklumkan bahawa ibu beserta adik lelaki dan anak perempuan saya telah maut dalam kebakaran.
“Memang terkejut dan sedih, kejadian seperti ini berlaku ketika sambutan Tahun Baharu Cina sudah dekat, tidak sangka ia boleh terjadi kepada keluarga saya,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik.
Dalam kejadian berkenaan, Ng Geok Choo, 63 dan Chen Si Jing, 11 ditemukan maut dalam bilik tidur, manakala Lee Chiw Yong, 30, ditemukan maut di dalam bilik air.
Tambah Chiew Siang, dia dan suaminya masing-masing bekerja manakala kedua-dua anak mereka tinggal bersama nenek di Ulu Tiram.
“Anak-anak saya tinggal dengan nenek mereka di Ulu Tiram, dan anak perempuan saya memang memang tidur bersama-sama neneknya,” katanya ringkas sambil menahan sebak.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan ia melibatkan seramai empat mangsa.
“Kesemua mangsa merupakan ahli keluarga dengan tiga maut dan seorang lagi cedera akibat melecur,” ujarnya.
Dalam pada itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Rafie Ahmad Sareng berkata, seramai 24 anggota beserta lima buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Tiga mangsa ditemukan maut dengan kesan melecur di seluruh badan dan seorang lagi remaja lelaki terselamat namun turut tercedera di bahagian muka dan tangan ditemukan di ruang tamu.
“Anggota terlibat bertindak memecahkan grill pintu hadapan untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.
Penggerak Daily