JOHOR BAHRU: Taman-Taman Negara Johor yang dibuka semula kepada pengunjung awam sejak Isnin lalu telah mendapat sambutan baik daripada rakyat dalam dan luar negeri.
Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), Hanis Musalman Salehan berkata, antara Taman Negara yang popular adalah Tanjung Piai, Pulau Kukup and Gunung Ledang.
Katanya, pembukaan semula Taman Negara di Tanjung Piai khususnya tepat pada masa dengan fenomena air pasang di sana yang bermula sejak semalam dan akan berlarutan selama empat hari.
“Fenomena itu telah berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung yang mahu menyaksikan keindahan alam semulajadi yang mana majoritinya merupakan rakyat negeri ini.
“Situasi ini merupakan satu perkembangan positif dimana masyarakat awam dapat kembali melakukan aktiviti riadah dan rekreasi setelah lama terkurung di kediaman masing-masing,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Sementara itu katanya, bagi Taman Negara Pulau Kukup, PTNJ menerima purata 50 pengunjung sehari dengan majoriti daripada telah membuat tempahan terlebih dahulu.
“Memandangkan wabak Covid-19 masih bersama kita, banyak peraturan dan prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa dalam usaha untuk mengekang penularan baharu.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, hanya pengunjung yang telah lengkap dua dos vaksin dibenarkan masuk dimana mereka juga dibenarkan untuk membawa anak-anak mereka,” ujarnya.
Hanis Musalman turut memberitahu, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini telah memberi impak positif kepada flora dan fauna yang terdapat di Taman-Taman Negara Johor.
“Tanpa gangguan luar termasuk daripada pengunjung, terdapat banyak hidupan liar seperti burung-burung dan hidupan laut lain semakin banyak mengunjungi taman-taman tersebut,” ujarnya.
Penggerak Daily