JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching membuat permohonan maaf secara terbuka di laman Facebook rasmi miliknya atas kesilapan bahasa yang digunakan untuk berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bekas Timbalan Menteri Pendidikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu sebelum ini memuat naik poster kempen bertulis ‘Lahabau Melaka, Jom Undi’.
Nie Ching dalam satu kenyataan memberi alasan kesilapan itu antaranya akibat ramai petugas PH, khususnya DAP, tidak cukup tidur dalam menyediakan bahan kempen.
“Dalam keghairahan kempen media sosial ini, ramai petugas PH, khususnya DAP, hampir tak cukup tidur dalam usaha menyediakan bahan-bahan kempen.
“Namun, manusia tidak pernah lepas daripada kesilapan, termasuk diri saya sendiri. Akibatnya, terserlah kesilapan bahasa yang memalukan melalui media sosial.
“Saya cuma ingin berkempen melalui ‘frame’ percuma yang boleh didapati di dalam facebook tanpa memahami maksud sebenar perkataan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di laman Facebook miliknya, semalam.
Sehubungan itu, Nie Ching membuat permohonan maaf atas kekhilafan menyiapkan dan memuatnaik bahan kempen yang telah tersalah menggunakan bahasa.
“Dengan menyusun sepuluh jari memohon maaf buat semua, terutamanya rakyat dan pengundi Melaka,” ujarnya.
Sementara itu, poster yang telah dipadam berkenaan telah menimbulkan perbualan hangat dalam kalangan netizen yang mempertikaikan kemahiran Pengguna bahasa wakil rakyat berkenaan.
Berdasarkan Dewan Bahasa dan Pustaka, lahabau bermaksud bahasa kasar, kata makian yang bermaksud tidak berguna, tidak boleh diharap atau haprak.
Penggerak Daily