KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) — Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi program Dana Kemakmuran Bumiputera (DKB) untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan merangsang pelaburan baharu syarikat bumiputera yang berkelayakan.
Ketika mengumumkannya hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata antara objektif utama program itu adalah memberi sokongan agar projek yang akan dilaksanakan lebih berdaya maju dan berdaya saing.
Objektif lain adalah mewujudkan peluang pekerjaan di semua peringkat, mencapai pertumbuhan mampan dengan peluang penggunaan sistem automasi berteknologi tinggi selain berperanan sebagai pemangkin agar bumiputera lebih berkecimpung dalam sektor-sektor strategik.
“Dana ini adalah permulaan untuk tahun ini dan jumlah baharu yang lebih tinggi akan diberi pada masa-masa akan datang.
“Bagaimanapun, penambahan dana itu haruslah setimpal dengan laporan proforma selain dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Mohd Redzuan berkata program DKB berbentuk geran secara pembayaran balik yang bertindak sebagai pemangkin strategik sektor swasta dalam pembangunan ekonomi negara, selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Beliau berkata, sektor-sektor keutamaan yang layak memohon DKB meliputi pembuatan, pertanian dan industri bio, ekonomi digital, perkhidmatan kejuruteraan atau pembangunan hartanah di tanah rizab Melayu/ tanah wakaf/tanah adat (Sabah dan Sarawak).
Sektor tambahan lain melibatkan usaha di kawasan koridor wilayah ekonomi seperti minyak dan gas (Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dan di Sarawak), logistik (Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) atau industri ruminan (Sabah dan Sarawak).
Nilai kos projek yang layak membuat permohonan DKB pula adalah sekurang-kurangnya RM500 ribu hingga RM100 juta bagi pembelian mesin dan kelengkapan peralatan atau sekurang-kurangnya RM2.5 juta hingga RM100 juta bagi projek-projek pembangunan.
Syarikat yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman sesawang Teraju www.teraju.gov.my.
— BERNAMA