KUALA TERENGGANU, 10 Ogos — Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Datuk Yahaya Ali berkata Kerajaan Terengganu bercadang untuk menambah bilangan kerusi DUN.
Menurut beliau, cadangan tersebut bersesuaian dengan pertambahan penduduk di Terengganu selain memastikan wakil rakyat di satu-satu kawasan DUN dapat memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan.
“Kalau dahulu kawasan Parlimen ada lebih kurang 50,000 (penduduk), tetapi kini di satu DUN sudah cecah 50,000 penduduk,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Kini, Terengganu mempunyai sebanyak 32 DUN dan kerajaan negeri akan membuat kajian mengenai jumlah kerusi yang perlu ditambah, sebelum cadangan itu dibawa ke mesyuarat Exco negeri dan seterusnya dibentangkan di Parlimen, katanya.
“Kita sedang berusaha dan akan mengambil pendekatan sebagaimana DUN Sabah yang asalnya ada 60 kerusi dan ditambah 13 kerusi menjadi 73 kerusi,” katanya menambah cadangan pertambahan kerusi DUN itu akan turut dibincangkan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“SPR juga mempunyai standard tersendiri…kita juga perlu masukkan pandangan awam sebelum memulakan sebarang langkah,” katanya.
— BERNAMA