ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana kejayaan menyelamatkan kanak-kanak berusia 6 tahun yang dilaporkan hilang di sebuah pusat beli-belah di sini, Sabtu lalu.
Onn Hafiz berkata, dedikasi dan komitmen ditunjukkan PDRM adalah lambang keikhlasan mereka dalam menjaga keamanan dan keselamatan negeri ini.
“Suka saya maklumkan bahawa adik Albertine Leo Jia Hui berada dalam keadaan baik dan selamat didalam pangkuan keluarga tersayang.
“Pihak polis masih membuat siasatan dalam kes ini. Saya yakin dengan semangat dan kecekapan yang dipamerkan mereka, negara ini pasti akan terus aman dan sejahtera,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar, di sini.
Turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Hoo Chuan Huat dan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan.
Tambah Onn Hafiz, pihaknya turut berharap kejayaan itu berjaya meningkatkan lagi imej dan keyakinan penduduk negeri ini kepada agensi keselamatan berkenaan.
“Semoga usaha dan pengorbanan mereka akan sentiasa diberkati dan disanjung tinggi oleh seluruh rakyat Malaysia. InshaAllah,” jelasnya lanjut.
Sabtu lalu, Albertine Leo Jia Hui dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya ketika berada festival Bon Odori yang berlangsung di Eco Galleria, Iskandar Puteri.
Kanak-kanak itu kemudiannya ditemukan selamat di sebuah hotel murah terletak di Batang Kali, Selangor, kelmarin.
Setakat ini, polis telah menahan reman seramai lima suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan untuk membantu siasatan.
Penggerak Daily