JOHOR BAHRU: Ibu kepada Albertine Leo Jia Hui, 6, yang sebelum ini dilaporkan telah diculik di Iskandar Puteri, dekat sini pada Sabtu lalu mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran akaun Facebook dipercayai milik ahli keluarga kanak-kanak itu yang menunjukkan gambar mangsa turut bersama ibunya, Leo Qieo Xin, 37, dan ahli keluarganya yang lain.
“Terima kasih atas perhatian dan kebimbangan semua, kami bersyukur Albertine selamat serta kembali dalam dakapan keluarga.
“Albertine kini selamat, namun dia keletihan dan trauma disebabkan insiden yang berlaku. Kami akan bawa dia pulang untuk berehat dan berkumpul bersama keluarga bagi memastikan keadaannya baik,” tulisnya.
Tambah akaun itu, ibu bapa Albertine telah memberi kebenaran untuk memuatnaik gambar tersebut bagi menyampaikan ucapan penghargaan keluarga berkenaan.
“Keluarga kakak saya juga beritahu semua orang yang bahawa kami berterima kasih kepada semua yang membantu selama ini,” tambahnya.
Kanak-kanak itu dirawat di Hospital Selayang di Selangor selepas ditemukan sebelum dibawa pulang bertemu keluarganya di negeri ini.
Terdahulu, seramai lima individu telah ditahan polis bagi membantu siasatan yang dibuat melibatkan kes berkenaan.
Penggerak Daily