ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki warganegara India yang bertindak terjun daripada tingkat 13 kediaman sebuah apartment di Gelang Patah di sini kini dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berusia 32 tahun itu juga mengalami kecederaan patah tangan dan kedua-dua belah kakinya.
Beliau berkata, pihaknya mendapat laporan berhubung kejadian itu pada pukul 10.20 malam, kelmarin.
“Hasil temubual dengan saksi dan rakan mangsa, mereka mendakwa mangsa tidak mempunyai masalah sama ada di rumah atau di tempat kerja.
“Rakan serumah mangsa juga memaklumkan mereka tidak menyedari bila mangsa keluar rumah sebaliknya hanya diberitahu berhubung perkara itu oleh jiran mereka di tingkat satu.
“Namun tiada saksi bebas dan rakaman kamera litar tertutup yang merakamkan keadaan semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Dzulkhairi, mangsa kemudiannya dibawa ke wad kecemasan Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.
“Hasil pemeriksaan doktor mendapati tangan dan kaki kiri serta kaki kanan mangsa telah patah dan keadaan mangsa ketika ini masih kritikal serta belum sedarkan diri.
“Kes disiasat di bawah seksyen 309 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan,” ujarnya.
Penggerak Daily