JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tidak menerima sebarang aduan salah laku berhubung pengoperasian GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid bagaimanapun berkata, pihaknya akan terus melaksanakan pemantauan terhadap pertubuhan tersebut.
Menurut beliau, pemantauan itu termasuklah melibatkan operasi perniagaan dan juga ajaran-ajaran agama yang diamalkan pengikutnya.
“Alhamdulillah di Johor ketika ini GISBH sentiasa dipantau dengan baik, sangat terkawal. Kita tidak menerima sebarang laporan atau aduan tentang mereka setakat ini.
“Kita tahu mereka berniaga, itu tidak menjadi masalah, yang kita bimbangkan adalah perihal ajaran agama sekiranya ia bertentangan. Sehingga kini kita tidak terima aduan, jika tiada kesalahan boleh diteruskan,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) kali ke-10 yang diadakan di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.
Hadir menyempurnakan majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar.
Tambah Mohd. Fared, sekiranya ada laporan lama yang diterima pihak berkuasa ia hanya melibatkan pertubuhan lama sebelum ditukar kepada GISBH.
“Sehingga 2011 di Johor, cuma ada empat aduan sahaja, semua itu aduan lama melibatkan pertubuhan lama mereka sebelum ia ditukar nama. Keempat-empat aduan itu melibatkan ajaran-ajaran yang terdahulu.
“Sejak pertubuhan baharu ini tiada aduan atau laporan, keadaan sangat terkawal di Johor, negeri lain saya tidak tahu. Tetapi jika ada ura-ura berkenaan perihal ajaran-ajaran lain, JAINJ sentiasa bersedia untuk membuat tindakan susulan,” jelasnya.
Penggerak Daily