JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri tidak mengesan sebarang gerakan ajaran sesat yang aktif di Johor buat masa ini, termasuklah di Ulu Tiram.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, pihaknya menjalankan pemantauan secara berterusan bagi membasmi gerakan berkenaan.
Walaubagaimanapun, masyarakat setempat diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berkenaan kegiatan meragukan di kawasan masing-masing.
“Semakan lanjut dibuat, kita nampak tiada gerakan aktiviti ajaran mengelirukan di Johor, termasuk di Ulu Tiram. Sehingga kini tiada laporan rasmi kita terima, termasuklah ajaran Ahmadiah.
“Sekiranya ada ajaran yang meragukan, masyarakat boleh buat aduan kepada kami, tidak hanya melalui saluran rasmi tetapi juga melalui pelbagai platform media sosial termasuk TikTok,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Amal Jariah PIJ Tahun 2024, di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB), di sini hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar PIJ, Datuk Abdul Rahman Salleh.
Sementara itu, mengulas berhubung tindakan meroboh Madrasah Luqmanul Hakim yang didirikan di kawasan tanah persendirian di Kampung Sungai Tiram, Mohd. Fared memaklumkan semakan masih dibuat.
“Sebelum tindakan meroboh boleh diambil, semakan dengan pelbagai agensi kerajaan perlu dibuat terlebih dahulu. Sekiranya ada tindakan sedemikian kita akan maklumkan,” ujarnya.
Penggerak Daily