JOHOR BAHRU: UMNO Johor meminta rakyat untuk kekal bertenang apabila membincangkan tentang perselisihan faham antara segelintir pemimpin politik dalam negara berhubung isu pensijilan halal, baru-baru ini.
Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, tiada mana-mana pihak khususnya pengusaha premis makanan tidak halal yang dipaksa untuk mendapatkan pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Restoran yang menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol akan dikecualikan secara automatik daripada peraturan ini. Jadi, tak perlulah sesiapa risau yang kedai-kedai non-halal akan ‘dipaksa’ memohon sijil halal atau ada yang berasa agama mereka dipinggirkan.
“Cadangan ini sebenarnya lebih kepada memastikan kepentingan pengguna Muslim di negara ini. Malaysia adalah sebuah negara dengan majoriti penduduk Muslim, jadi wajar sahaja Jakim cuba memastikan produk makanan yang dimakan masyarakat Islam mematuhi standard halal yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Abdul Halim memberitahu peniaga restoran yang tidak melibatkan diri dalam menyediakan makanan halal tidak akan terjejas.
“Mereka bebas untuk menjalankan perniagaan mereka seperti biasa. Apa yang Jakim lakukan adalah memberi pilihan kepada peniaga yang mahu mendapatkan pengiktirafan halal, supaya mereka lebih mudah memenuhi keperluan pelanggan Muslim.
“Jika restoran itu tidak berminat untuk mendapatkan sijil halal, tak ada masalah, mereka tak perlu berbuat demikian. Restoran non-halal takkan terjejas dan peniaga masih bebas memilih sama ada nak memohon sijil halal atau tidak,” jelasnya.
Terdahulu, Naib Presiden DAP, Teresa Kok dilaporkan berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa kerana akan membebankan peniaga.
Penggerak Daily