PASIR GUDANG: Bapa kepada empat orang anak yang motosikalnya terbakar ketika dalam perjalanan mendapatkan bantuan buat keluarganya tidak menjangka kejadian tersebut menjadi tular di media sosial.
Amran Ronggi, 29, yang menetap di Kampung Orang Asli, Kuala Masai sini berkata, selain untuk memohon bantuan, dia juga dalam perjalanan untuk mendaftar surat beranak anaknya.
Katanya, dia tersalah jalan sebelum motosikalnya terbakar di Plaza Tol Senai.
“Saya mahu pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk menguruskan surat beranak tiga daripada empat anak, sebelum tersalah jalan.
“Ketika itu, anak saya memberitahu kakinya terasa panas sebelum saya bertindak memeriksa motosikal dan mendapati ianya sudah terbakar.
“Mujur anggota polis di sana membantu, namun motosikal itu sudah terbakar sepenuhnya dan tidak boleh dibaiki, hanya boleh dijual sebagai besu buruk sahaja,” katanya yang merupakan seorang nelayan sepenuh masa.
Dia ditemui pemberita semasa menerima kunjungan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia ( YaPEIM) di kediamannya, di sini hari ini.
Isnin lalu, motosikal ditunggang Amran dan anaknya ketika dalam perjalanan mendapatkan bantuan di Baitulmal dilaporkan terbakar di Plaza Tol Senai.
Kejadian itu dikongsi laman Facebook rasmi Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, sebelum menjadi tular di media sosial.
Tambah Amran, pendapatannya sebagai nelayan terjejas akibat pandemik Covid-19 ketika ini sehingga memaksanya berusaha untuk mendapatkan bantuan untuk keluarganya.
“Sebelum ini, pendapatan bulanan saya melebihi RM1,000 sebulan. Walaupun tidak besar tetapi cukup untuk menyara keluarga tanpa perlu mendapatkan bantuan.
“Namun kini pendapatan saya hanya sekitar RM600 sebulan, membuatkan saya perlu berusaha mendapatkan bantuan untuk memastikan komitmen bulanan dapat dibayar, terutamanya keperluan anak-anak,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus YaPEIM Johor, Tajul Ariffin Harun berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk menghulurkan sumbangan kepada keluarga Amran selepas mendapat tahu kejadian menimpanya menerusi media sosial.
“Menerusi kunjungan hari ini, kami menyampaikan sedikit sumbangan berbentuk barangan keperluan harian buat mereka, antaranya termasuklah beras, bihun, minyak masak, biskut dan lain-lain.
“Sejak September 2019 hingga November tahun ini, YaPEIM Johor telah menyantuni sejumlah 7,160 buah keluarga terdiri daripada golongan memerlukan di seluruh negeri,” tambahnya.
Penggerak Daily