JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang perempuan dan dua lelaki tempatan di Pasir Gudang, di sini kelmarin kerana dipercayai memiliki pelbagai jenis dadah seberat 69.57 gram beserta pelbagai jenis senjata.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 27 hingga 38 tahun itu ditahan pada pukul 2.30 petang.
Menurut beliau, kediaman dihuni ketiga-tiga mereka dipercayai telah digunakan sebagai lokasi pengedaran dadah.
“Antara dadah dirampas termasuklah serbuk heroin seberat 24.3 gram; pil Eramin 5 (23.29 gram); pil Yaaba (10.55 gram) dan syabu (10.01 gram).
“Sementara itu, antara senjata dirampas adalah sepucuk senjata menyerupai pistol; selaras senapang pelancar getah; sebilah pisau kerambit; sebilah pedang dan bebola besi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Sohaimi, semakan dibuat mendapati ketiga-tiga mereka mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.
“Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan yang dijalankan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960; Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1958,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily