Categories
Berita Jenayah

TIGA LELAKI AKTIF PECAH CERMIN KERETA SEKITAR JB DITAHAN POLIS

JOHOR BAHRU: Polis negeri ini berjaya menumpaskan dua kumpulan yang terdiri daripada tiga lelaki dan aktif melakukan jenayah samun dan pecah cermin kenderaan di sekitar bandar raya ini sejak kebelakangan ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, ketiga-tiga suspek ditahan pada 16 dan 18 Oktober lalu.

Menurutnya, suspek yang turut terdiri daripada seorang warganegara Indonesia berusia antara 32 hingga 42 tahun.

“Dengan tangkapan ini, polis percaya telah berjaya menyelesaikan 10 kes samun melibatkan pecah cermin kenderaan di sekitar bandar raya ini.

“Turut dirampas, pelbagai barangan yang dipercayai dicuri suspek ketika melakukan jenayah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Padzli, semakan rekod lampau mendapati dua suspek warga tempatan mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kesemua suspek kini dikenakan tahanan reman bagi membantu siasatan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Polis turut menyeru kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung perlakuan jenayah untuk terus menghubungi talian Hotline IPD JBS iaitu 07-2182323,” ujarnya lanjut.

Penggerak Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *