Categories
Berita

TIGA RAKAN LEGA, DILEPAS DAN DIBEBAS TUDUHAN EDAR, MILIKI DADAH

JOHOR BAHRU: Tiga rakan termasuk seorang wanita menarik nafas lega selepas Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan mereka daripada dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, lima tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Noor Hayati Mat membuat keputusan itu selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhamad Alqayyum Abdul Majid, 30; Nur Hasanah A.Latif, 26, dan Mohamad Aizat Omar, 33, di akhir kes pendakwaan.

“Oleh itu, ketiga-tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan tanpa perlu dipanggil¬†membela diri,” katanya.

Terdahulu, Noor Hayati berkata pendakwaan gagal mengemukakan keterangan bahawa tertuduh pertama iaitu Muhamad Alqayyum menyewa atau tinggal di bilik ketiga sebuah pangsapuri di Taman Cahaya, Kota Puteri, selain gagal membuktikan lelaki itu mengendalikan dadah yang dijumpai kerana tiada bukti cap jarinya.

“Pihak pendakwaan gagal mengemukakan keterangan tambahan atas cadangan pihak pembelaan bahawa bekas plastik yang mengandungi dadah tidak dijumpai atas lantai dalam keadaan terbuka tetapi dijumpai dalam almari,”

“Elemen niat bersama tidak dibuktikan, manakala cadangan bahawa tertuduh kedua iaitu Nur Hasanah sedang tidur telah disahkan oleh ketua serbuan yang merupakan saksi pendakwaan kedua, walaupun tidak dipersetujui saksi pendakwaan keenam iaitu pegawai penyiasat,” jelasnya.

Sementara itu, Noor Hayati turut menjelaskan bahawa tertuduh ketiga, Mohamad Aizat tiada semasa serbuan dilakukan dan juga tidak dibuktikan menginap dengan tetap dalam bilik tersebut.

Keadaan itu sekaligus menimbulkan kelompangan dalam naratif kes pendakwaan dan elemen niat bersama juga gagal dibuktikan.

“Bilik ketiga itu juga mungkin boleh dimasuki individu lain kerana terdapat beberapa orang yang sering berada dalam rumah itu, selain kad akses tidak dirampas dari mana-mana tertuduh menimbulkan tanda tanya sama ada hanya mereka mempunyai akses kepada rumah tersebut,” jelasnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa secara bersama telah mengedar 204.76 gram kanabis di pangsapuri itu pada pukul 2.35 petang, 17 September 2019 dan didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki 3.09 gram ketamin dan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama, yang berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Penggerak Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *