Berdasarkan saranan yang dikeluarkan Hello Doktor, beberapa tips mesti dipertimbangkan jika mahu berkahwin ketika pandemik. Antaranya;
1. Panduan kesihatan
Apa yang perlu dibuat jika anda sudah mempunyai tarikh dan tempat bagi meneruskan majlis perkahwinan?
Paling penting, anda harus sentiasa peka dengan panduan kesihatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Anda perlu tahu apa yang boleh dilakukan dan bagaimana cara untuk memastikan setiap tetamu yang hadir berada dalam keadaan selamat.
Contohnya, anda boleh sediakan hand sanitizer di pintu utama majlis diadakan dan juga mengamalkan cara sapaan menundukkan kepala berbanding bersalaman.
2. Bilangan tetamu
Siapa yang tidak mahu majlis perkahwinan meriah dengan kehadiran tetamu. Namun buat masa ini, anda perlu lebih mengutamakan aspek keselamatan.
Jika sebelum ini anda merancang jemputan melebihi 2,000 orang, mungkin anda patut fokus memberikan jemputan kepada keluarga terdekat serta rakan-rakan baik anda sahaja.
3. Hidangan makanan
Biasanya majlis perkahwinan akan menyediakan hidangan makanan jenis bufet. Tetapi anda perlu mempertimbangkan sedikit perubahan.
Cadangan terbaik adalah untuk menyediakan hidangan makanan siap terhidang dalam bungkusan.
Ia sesuatu yang janggal, tetapi sudah pastinya tetamu yang hadir memahami tentang situasi semasa yang dihadapi.
4. Ringkas dan mudah
Dalam konsep hiasan bagi majlis perkahwinan pula, amat disarankan untuk anda memilih sesuatu konsep yang ringkas dan mudah.
Semua individu, khususnya wanita mahukan majlis yang meriah dan cantik dengan dipenuhi bunga segar, hiasan mewah dan sebagainya.
Tetapi jika memilih untuk berkahwin ketika pandemik ini, pastinya ada beberapa keinginan yang tidak dapat dipenuhi.
5. Amalan kebersihan diri
Pastinya amalan melibatkan aspek penjagaan kebersihan diri menjadi keutamaan.
Anda perlu menyediakan dispenser pembersih tangan yang mencukupi.
Sebaiknya tabiat mencuci tangan dengan kerap perlu sentiasa diamalkan serta menghindari sentuhan pada muka apabila berada di tempat awam.
6. Siaran langsung
Sudah tentu anda akan berasa sedih apabila ada individu yang rapat tidak boleh menghadiri majlis perkahwinan anda.
Apa kata anda manfaatkan kemajuan teknologi yang ada?
Jika mereka tidak boleh menghadirinya, anda bawakan majlis anda kepada mereka dengan mengadakan siaran langsung perkahwinan anda.
Sumber: Odisi