JOHOR BAHRU: Inisiatif diambil Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memanggil kepimpinan negeri ekoran beberapa permasalahan yang timbul berhubung isu vaksinasi membuahkan hasil apabila beberapa langkah proaktif akan diambil untuk menanganinya.
Titah baginda, pertemuan itu bertujuan mendapatkan laporan terkini mengenai isu kekurangan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Educity, pembatalan temu janji untuk vaksinasi dan program vaksinasi pekerja kilang.
“Susulan perjumpaan ini, PPV Educity (dibawah Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dan dikawal selia Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mendapat 70,000 dos vaksin, Khamis ini.
“Inisiatif Pemimpin Advokasi Covid-19 (IPA-C) juga telah dimulakan dengan kerjasama kerajaan negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan pemimpin komuniti tempatan.
“Tujuannya adalah untuk melaksanakan pelbagai aktiviti pendidikan kesihatan, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan membantu melaksanakan ujian saringan secara bersasar,” titahnya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Terdahulu, Tunku Ismail menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu serta beberapa individu lain.
Titah baginda lagi, kerajaan negeri juga telah mengambil beberapa inisiatif bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan kepada rakyat negeri ini.
“Kerajaan negeri telah menyediakan khemah lebih besar untuk ‘Covid-19 Temporary Treatment Centre’ (CTTC) berhadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sultan Ismail.
“JKNJ juga telah memulakan sistem perkhidmatan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) secara maya bagi membolehkan pesakit mendapatkan perkhidmatan kesihatan di rumah masing-masing,” titahnya.
Tunku Ismail bertitah lagi, menjadi hasrat pihaknya agar perjumpaan itu dapat membuka ruang mencari penyelesaian terhadap isu yang dihadapi oleh program vaksinasi di Johor.
“Ini supaya rakyat dapat diberi vaksin secepat mungkin,” titahnya lanjut.
Penggerak Daily