JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah bahawa kejadian seorang wanita yang bersalin secara bersendirian di Hospital Sultan Ismail (HSI) tidak sepatutnya berlaku.
Titah baginda, pihaknya telah menerima laporan berhubung perkara itu dan individu berkenaan telah diberikan peringatan dan amaran.
“Saya telah menerima laporan dari Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melihat kenyataan JKNJ.
“Pihak-pihak tertentu akan diberikan peringatan dan amaran supaya memastikan keselamatan dan keselesaan para pesakit sentiasa dijamin.
“Perkara-perkara yang tidak diinginkan seperti ini tidak patut berlaku lagi,” titahnya dalam satu ciapan di laman Twitter miliknya, kelmarin.
Semalam, tular di media sosial seorang wanita melalui proses bersalin secara bersendirian di dewan bersalin HSI di sini, pada 31 Julai lalu.
Pengarah JKNJ, Datuk Dr. Aman Rabu dalam satu kenyataan memberitahu pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci berhubung perkara tersebut.
Dr. Aman dilaporkan berkata, wanita berusia 36 tahun itu mengandung anak keempat dengan usia kandungan 39 minggu hadir ke bilik saringan pada pukul 5.33 pagi, 23 Julai lalu kerana mempunyai tanda awal bersalin.
“Pesakit merupakan kontak rapat kepada suami yang positif Covid-19 dan telah diperiksa pegawai perubatan yang mendapati dia di peringkat awal kelahiran (bukaan pangkal rahim 3 sentimeter) dan dimasukkan dalam bilik isolasi pada pukul 10.18 pagi sementara menunggu keputusan ujian Covid PCR.
“Pesakit diletakkan di dewan bersalin (bilik nombor dua) dengan pintu bilik sentiasa ditutup kerana pesakit merupakan kes positif Covid-19 dan bilik tersebut berada agak jauh dari kaunter jururawat.
Mengulas lanjut, Dr. Aman memberitahu pegawai perubatan dan jururawat telah melakukan pemeriksaan pada pukul 4.26 petang dan hasil ujian keputusan PCR Covid-19 pesakit itu didapati positif.
“Pemeriksaan ketika itu mendapati bukaan pangkal rahim adalah 4 sentimeter dan mengalami kontraksi yang tidak teratur. Pesakit kemudian dipersiapkan untuk menjalani pembedahan.
“Proses bersalin pesakit berlaku di luar jangkaan di mana ia berlaku lebih awal dari tempoh jangkaan bersalin yang dianggarkan enam jam lagi. Pesakit telah bersalin secara bersendirian dan bayinya didapati berada atas katil pesakit.
“Proses ‘donning’ mengambil masa sebelum bantuan oleh anggota bertugas dapat diberikan kepada pesakit,” katanya lanjut.
Penggerak Daily