JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilantik sebagai Pemangku Sultan Johor secara rasminya bermula hari ini.
Pelantikan itu berkuatkuasa sepanjang tempoh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memulakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Yang di Pertua Jumaah Majlis DiRaja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, pelantikan itu selari dengan Fasal 9 (1) (d) dan (3) dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Jumaah Majlis DiRaja mengumumkan bahawa Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan Bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim dengan nasihat dan pesertaan Jumaah Majlis DiRaja dan dengan kuasa dan kehendak Fasal 9 (1) (d) dan (3) dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 telah suka dan berkenan melantik Waris Takhta Kerajaan Johor, Tunku Mahkota Johor Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim sebagai Pemangku Sultan bagi Negeri Johor Darul Ta’zim pada hari Ahad, 28 Januari 2024 bersamaan 16 Rejab 1445 Hijrah.
“Pelantikan itu dibuat di Istana Bukit Serene, dan pelantikan ini hendaklah berterusan untuk selama DYMM Tuanku menjalankan kerja-kerja Yang Di-Pertuan Agong.
“Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga berkenan gelaran kehormatan bagi Pemangku Sultan ialah, ‘Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor’,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, gelaran kehormatan baginda dalam Bahasa Inggeris pula boleh digunakan sebagai ‘His Royal Highness Tunku Ismail, The Regent of Johor’.
“Gelaran kehormatan ini hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan, termasuk persuratan, ucapan dan doa,” jelasnya lanjut.
Sultan Ibrahim akan dilantik selaku Yang di-Pertuan Agong ke-17 bermula 31 Januari ini bagi tempoh lima tahun.
Baginda akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan tempoh pemerintahan pada 30 Jan ini.
Penggerak Daily