JOHOR BAHRU: Seramai 396 guru daripada keseluruhan 779 guru yang dilaporkan menolak untuk mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 di negeri ini berbuat demikian kerana berasa ragu-ragu dengan vaksin berkenaan.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, selebihnya menolak untuk divaksin kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan.
Titah baginda, antara sebab berkenaan termasuklah mempunyai alahan dan sedang mengandung pada ketika ini.
“Hari ini saya telah berjumpa para guru yang belum divaksinasi di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan.
“Saya telah mendengar ulasan dari para guru mengenai isu yang mereka hadapi. Daripada 779 orang guru yang asalnya menolak vaksin, didapati hanya 396 yang tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadap vaksin.
“Yang bakinya telah mengambil pendirian untuk ditangguhkan buat masa ini, kerana mempunyai alahan, mengandung, ataupun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Sebilangan guru kini telah bersetuju mendaftar untuk mengambil vaksin,” titahnya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Turut hadir dalam pertemuan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu.
Titah baginda lagi, pihaknya berharap guru-guru terlibat sedar akan tanggungjawab mereka sebagai pendidik kepada generasi muda di negeri ini.
“Saya berharap guru-guru ini sedar tanggungjawab mereka untuk sentiasa mengetengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik.
“Dan berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sekolah dibuka semula demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” titahnya.
Terdahulu, Tunku Ismail bertitah agar kesemua 779 guru-guru di Johor yang dilaporkan menolak untuk menerima suntikan vaksin menghadap baginda selepas perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang.
Penggerak Daily