ISKANDAR PUTERI: Pengunjung yang menghadiri perlawanan sukan tempur Muay Thai, Pahlawan: Malaysia vs Challenger sempena program Majestic Johor pada 10 September ini berpeluang untuk membawa pulang pelbagai hadiah cabutan bertuah bernilai RM200,000.
Antara hadiah yang ditawarkan termasuklah dua buah kereta jenis Perodua Axia, dua buah motosikal, lima rantai emas dan wang tunai.
Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim berkata, tawaran berkenaan dibuat penganjur pertandingan sukan tempur berkenaan sebagai menarik minat pengunjung untuk menghadiri perlawanan tersebut.
Katanya, program Pahlawan: Malaysia vs Challenger itu merupakan salah satu daripada lebih 30 program mini yang dianjurkan kerajaan negeri dalam usaha menarik kehadiran pelancong ke Johor.
“Seramai 14 peninju Muay Thai dari enam negara akan terlibat dalam tujuh perlawanan yang diadakan dalam tempoh satu hari. Tujuh negara terbabit adalah Malaysia, Thailand, Amerika Syarikat, Brazil, England dan juga Slovakia.
“Kita menganggar program ini akan dapat menarik kehadiran seramai kira-kira 3,000 pengunjung terdiri daripada penduduk tempatan dan juga pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Hotel Sunway Bigbox, di sini hari ini.
Program berkenaan bakal dianjurkan di Stadium Tertutup EduCity yang mampu memuatkan sehingga 3,000 pengunjung dalam satu masa.
Tambah Suhairi, pihaknya yakin dengan program sukan yang melibatkan peserta dari pelbagai negara antarabangsa akan dapat menyumbang kepada kemasukan lebih ramai pelancong ke negeri ini.
“Kejohanan ini pertama kali diadakan di Johor dan saya menjemput peminat sukan tempur khususnya Muay Thai untuk hadir beramai-ramai bagi menyaksikan atlet tempatan bertarung dengan atlet antarabangsa.
“Difahamkan, setakat ini sebanyak 70 peratus daripada tiket bagi menyaksikan perlawanan tersebut telah terjual, manakala dengan pembelian baju t-shirt bernilai RM50, pengunjung berpeluang menerima hadiah cabutan bertuah,” ujarnya.
Sementara itu, mengulas berhubung beberapa insiden banjir kilat yang dilaporkan berlaku di pusat bandar raya Johor Bahru kebelakangan ini, Suhairi memberitahu perkara itu tidak menjejaskan kemasukan pelancong ke Johor.
“Seperti kita lihat, pusat bandar Johor Bahru terus dikunjungi pelancong domestik dan antarabangsa khususnya dari Singapura dan juga Indonesia, Insiden itu (banjir kilat) tidak melibatkan kawasan tumpuan pelancong,” jelasnya.
Penggerak Daily