JOHOR BAHRU: Tourism Johor akan mengadakan pertemuan dengan beberapa hospital swasta di negeri ini bagi merancakkan lagi sektor pelancongan kesihatan di Johor.
Pengarahnya, Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, pertemuan tersebut bagi membincangkan pelbagai perkhidmatan sokongan yang boleh dilibatkan dengan pakej rawatan kesihatan disediakan hospital-hospital berkenaan.
Menurut beliau, hospital swasta di negeri ini menerima jumlah kehadiran pesakit antarabangsa tinggi khususnya dari Indonesia.
“Antara intipati usaha ini adalah untuk hospital swasta di sini bukan sahaja menawarkan rawatan berkualiti semata-mata, tetapi juga hotel penginapan, restoran, pengangkutan dan juga kawasan tumpuan pelancongan menarik.
“Kita mahu sektor pelancongan kesihatan itu turut melibatkan sektor perhotelan, peruncitan, sektor makanan dan minuman dan lain-lain. Ini limpahan ekonomi yang kita mahukan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di restoran Zainal’s Place, di sini hari ini.
Tambah Sharil Nizam, kejatuhan nilai ringgit semasa juga perlu dilihat melalui aspek positif iaitu dengan menggiatkan lagi promosi pelancongan di negeri ini kepada pasaran antarabangsa, khususnya Singapura.
“Kita berharap ringgit akan terus mengukuh, namun dalam masa sama ini peluang kita untuk mempromosikan tarikan menarik yang ada di Johor, termasuklah restoran-restoran kepada pengunjung asing.
“Apabila rakyat Singapura masuk dan berbelanja di sini, itu akan mewujudkan aliran ekonomi yang mana secara tidak langsung akan turut menyumbang kepada kestabilan ekonomi setempat, dalam masa sama meningkatkan ekonomi usahawan tempatan,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, beberapa inisiatif sedang diusahakan bagi menarik kehadiran lebih ramai warga Singapura berbelanja di negeri ini, termasuklah semasa ketibaan bulan Ramadan kelak.
“Antara inisiatif itu adalah kerjasama dengan industri perhotelan dalam menyediakan penginapan mengikut waktu lebih bersesuaian buat warga Singapura yang datang berbuka puasa dan berbelanja di sini pada malam hari,” ujarnya.
Penggerak Daily