JOHOR BAHRU: Tourism Johor akan terus melakukan promosi terhadap warga Singapura bagi memastikan negeri ini tidak hanya menjadi laluan atau destinasi perbelanjaan semata-mata sebaliknya sebagai satu destinasi pelancongan utama mereka.
Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim berkata, pihaknya mempunyai beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan bagi menjayakan perkara tersebut.
Katanya, inisiatif itu termasuklah dengan menyediakan pakej tawaran pelancongan menarik yang digemari pelancong dari republik berkenaan.
“Mungkin ada pihak kata warga Singapura hanya menjadikan Johor sebagai hentian atau laluan mereka ke lokasi lain, atau hanya berbelanja di sini, namun kita ada inisiatif agar mereka berhenti dan menginap di negeri ini.
“Antaranya melalui usaha pemuliharaan bangunan-bangunan ikonik di negeri ini serta penyusunan jadual pakej percutian yang menarik buat mereka, jadi pelancong yang mengikuti pakej berkenaan akan bermalam di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Central Business District (CBD) Heritage Walk di Legaran Segget, di sini hari ini.
Tambah Sharil Nizam, kejatuhan nilai ringgit berbanding matawang Singapura ketika ini perlu dilihat daripada aspek positif, khususnya buat sektor pelancongan negeri Johor.
“Kita perlu jadikan perkara itu (kejatuhan ringgit) sebagai kelebihan dan gunakan keadaan tersebut sebaik mungkin. Kita boleh lakukan lebih banyak promosi di peringkat antarabangsa dan menarik kehadiran pelancong dengan pakej percutian menarik.
“Jadi kita akan dapat terima kehadiran lebih ramai pelancong, salah satu sektor pelancongan yang boleh dipromosi adalah pelancongan kesihatan. Buat waktu ini majoriti pelancong kesihatan yang hadir ke Johor adalah melibatkan warga Indonesia, jadi mungkin kita juga boleh tarik pelancong Singapura dalam sektor ini.
“Terdapat banyak pakar perubatan di hospital-hospital negeri ini yang bertaraf antarabangsa, jadi dengan kejatuhan ringgit pastinya akan menjadi tarikan tambahan buat mereka mendapatkan rawatan di negeri ini,” jelasnya.
Penggerak Daily