Categories
Berita

TUJUH LELAKI MENGAKU BERSALAH MERUSUH, TERBALIKKAN KERETA

JOHOR BAHRU: Tujuh lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana merusuh sehingga menyebabkan kerosakan keatas sebuah kereta di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada 3 November iaitu.

Empat daripada mereka merupakan penghantar makanan P-Hailing, manakala tiga yang lain adalah penuntut, penjual topi secara atas talian dan juga pembaiki mesin basuh serta televisyen.

Kesemua tertuduh, Muhammad Adam Abd. Rahim, 18; Mohamad Hairul Hasraf Seeni Abdul Cader, 22; Morrisson Malvin Anak Mada, 19, Shaikh Al Amin Idrus, 21; Nur Khairul Amal Abdul Harsir, 19; Daniel Haziq Syikhanna, 21 dan Romie Rahimi, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah melakukan khianat dengan merosakkan cermin dan pintu kereta dan menterbalikkan kereta jenis Perodua Myvi milik Tan Jing Hui, 21 menyebabkan dia menanggung kerugian berjumlah RM15,000.

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu dengan menumbuk, menendang, menghentak menggunakan topi keledar dan membaling batu dan menterbalikkan kereta itu di sebuah stesen minyak di Taman Kota Masai, Pasir Gudang pada pukul 9.40 malam, Khamis lalu.

Atas perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun atau tidak lebih lima tahun, atau denda atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar diberikan jaminan rendah kerana masing-masing tidak mempunyai pekerjaan tetap dan berpendapatan antara RM1,200 hingga RM1,500 serta mempunyai tanggungan ahli keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaie memberitahu, kesalahan mengikut seksyen itu adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin, namun sekiranya mahkamah membenarkan pihaknya mencadangkan jaminan berjumlah RM10,000 seorang.

Mahkamah kemudian menetapkan setiap tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 setiap seorang, dengan syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi kejadian serta perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Hidayatul Syuhada kemudian menetapkan tarikh 18 Disember untuk sebutan semula kes bagi pendengaran fakta dan hukuman.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video di media sosial menunjukkan sekumpulan pemuda bertindak memecahkan cermin kereta Perodua Myvi sebelum kereta itu diterbalikkan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak dilaporkan berkata, pihaknya telah menahan seramai sembilan suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan sehari selepas kejadian.

“Polis bagaimanapun masih memburu seorang lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan.

“Kekecohan itu berlaku selepas kemalangan jalan raya antara sebuah kereta dan sebuah motosikal penghantar makanan. Pemandu kereta mendakwa selepas kemalangan itu, sekumpulan individu tidak dikenali menghampirinya dan bertindak merosakkan kereta miliknya,” jelasnya.

Penggerak Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *