Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyatakan hasrat untuk menyumbang vaksin Covid-19 kepada Malaysia bagi tujuan kajian klinikal di negara ini.
Hasrat itu disampaikan Menteri Kesihatan dan Prevensi UAE, Dr Abdul Rahman Mohammed Al Owais kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menerima mengadap di Istana Emirates semalam.
Dalam sesi yang berlangsung selama 45 minit itu Al-Sultan Abdullah menzahirkan setinggi penghargaan kepada Dr Abdul Rahman dan kerajaan UAE atas hasrat berkenaan.
Bagaimanapun, menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda menyatakan beberapa proses perlu diambil kira bagi mengetahui kebolehlaksanaan kajian klinikal di Malaysia.
“…khususnya menerusi Pusat Penyelidikan Klinikal, Institut Penyelidikan Klinikal dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara sebelum sebarang vaksin diterima masuk ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, hasrat sumbangan vaksin dan lawatan khas itu mencerminkan keutuhan hubungan dua hala yang terjalin antara kedua-dua negara.
“Ia juga menunjukkan Malaysia dan UAE bersama berganding bahu dalam usaha memerangi wabak Covid-19 dan juga kerjasama pemulihan pasca Covid-19,” katanya.
Sesi mengadap itu adalah satu daripada acara dalam lawatan khas lima hari Seri Paduka Baginda ke Abu Dhabi, UAE sebelum dijadualkan berangkat pulang ke tanah air esok.
Sumber: Malaysiapost