JOHOR BAHRU: Sebagai meraikan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan, UDA Holdings Berhad (UDA) menyantuni seramai 200 murid melalui Program UDA Cares, Back To School 2024 di pusat beli belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd. Salem Kailany berkata, program itu merupakan salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya terhadap masyarakat setempat.
Menurut beliau, seramai 200 murid daripada 10 buah sekolah telah terpilih untuk menerima sumbangan bernilai RM350 setiap seorang.
“Program ini dijayakan dengan peruntukan sumbangan zakat berjumlah RM70,000 bagi menyantuni 200 murid sekolah rendah di sekitar bandar raya ini.
“Wang tersebut digunakan untuk membeli keperluan sekolah seperti pakaian, kasut, beg dan set alat tulis,” katanya.
Turut hadir, Naib Presiden Kanan, Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA, Mohd. Nazri Jamiran; Ketua Pegawai Operasi Angsana Johor Bahru Mall, Imran Salleh dan Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan UDA, Radziah Mohamed Fadzil.
Tambah Mohd. Salem, UDA prihatin dan komited dalam menyumbang semula kepada kesejahteraan komuniti setempat khususnya di kawasan perniagaan pihaknya.
“Semoga sumbangan ini dapat membantu kanak-kanak ini menjalani sesi persekolahan baharu dengan lebih selesa dan bersemangat agar berjaya di masa hadapan. Kita juga mahu meringankan beban ekonomi kepada murid-murid terlibat.
“Inisiatif ini selari dengan penjenamaan baharu UDA iaitu ‘L.I.F.E.’, akronim bagi Legacy (Legasi), Integrated (Integrasi), Finesse (Ketelitian) dan Enrich (Memperkasa) yang menterjemah komitmen UDA dalam mendukung aspirasi kelestarian negara dan masyarakat.
“Matlamat itu hendak dicapai dengan menumpukan kepada aktiviti sosial dan ekonomi bagi meningkat taraf hidup, menyediakan peluang, kecekapan operasi dan CSR dalam meneruskan Legasi UDA,” jelasnya.
Antara murid-murid sekolah yang terlibat adalah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Danga; SK Kompleks UDA; SK Bandar UDA 2; SK Kampung Pasir; SK Pengkalan Rinting; SK Tasek Utara; SK Taman Cempaka; SK Seri Kenanga; SK Seri Melati dan SK Perumahan Tampoi 2.
Penggerak Daily