JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan terus memberikan kepercayaan kepada penuntutnya dalam mengendalikan program Minggu Destini Siswa (MDS) meskipun telah berlaku insiden negatif, baru-baru ini.
Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, insiden yang berlaku itu merupakan satu pengajaran berharga bukan sahaja buat penuntut terbabit, tetapi kepada semua pihak secara keseluruhannya.
Katanya, pihak-pihak berkenaan akan menjadikan perkara itu sebagai pengajaran agar lebih berhati-hati pada masa depan.
“Jika kita mahu dipercayai, kita harus diberi kepercayaan. Jika penuntut tidak diberi peluang untuk membuat kesilapan, mereka tidak akan belajar. Pada kejadian itu, mereka telah lakukan kesilapan dan telah meminta maaf, itu pembelajaran dia.
“Kesilapan yang dibuat penuntut senior, junior akan lihat dan mereka pula akan berhati-hati untuk memastikan kesilapan sama tidak berulang, itu harapan kita,” katanya kepada pemberita pada program Johor International Innovation, Invention Competition and Symposium (JIIICaS) 2024 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin.
Tambah Shahrin, pengisian program MDS dirancang dan dilaksana sepenuhnya oleh pihak fasilitator yang telah dipilih pengurusan UiTM di setiap cawangan seluruh negara.
“Kita memang ada tetapkan kriteria sebelum memilih penuntut sebagai fasilitator MDS, bukan pilih sembarangan.
“Kita juga ada keluarkan panduan umum namun pengisian program ditetapkan mereka sendiri mengikut kepada kesesuaian tempat sama ada di Johor, Sabah mahupun Perlis,” jelasnya.
Baru-baru ini, fasilitator UiTM Segamat, Johor yang tular di media sosial kerana membuat ‘prank’ ketika Minggu MDS tampil membuat permohonan maaf.
Menurut wakil fasilitator terbabit mereka akui idea untuk melakukan ‘prank’ tersebut tidak sesuai untuk dilakukan semasa MDS berlangsung.
“Saya akui kesilapan saya. Pertama sekali, mungkin kandungan yang dibuat itu tidak berapa sesuai. Apa-apa pun saya kena mengakulah. Memang itu kesalahan yang kita tak boleh nafikan,” katanya.
Penggerak Daily