JOHOR BAHRU: UMNO Johor mahu adakan Konvensyen Orang Melayu Johor dalam usaha parti itu untuk terus memperkukuh imej mereka dalam kalangan kaum majoriti di negara ini itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, konvensyen itu juga bertujuan untuk mendapatkan pandangan awam dan hala tuju parti yang dimahukan mereka.
Menurut beliau, konvensyen tersebut merupakan antara fokus utama yang dibincangkan Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor hari ini.
“Agenda UMNO Johor adalah untuk terus mendapatkan sokongan akar umbi, bangsa Johor khususnya orang Melayu di negeri ini. Oleh itu, kita akan adakan Konvensyen Orang Melayu Johor bagi mendapatkan pandangan dan hala tuju mereka.
“Konvensyen ini akan melibatkan semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan dijangka bakal diadakan pada Jun depan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat itu pertama kali di ibu pejabat UMNO Johor, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Onn Hafiz yang juga merupakan Menteri Besar turut memberitahu, UMNO Johor akan bekerjasama dengan UMNO Bahagian seluruh negeri untuk memastikan hasrat setiap lapisan masyarakat di negeri ini diambil maklum.
“Kita mahu pastikan Johor terus menjadi kubu kuat buat UMNO dan Barisan Nasional (BN),” jelasnya lanjut.
Dalam pada itu, Onn Hafiz turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Mohamed Khaled yang merupakan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.
Penggerak Daily