Oleh: Nami Cob Nobbler
Seperti yang semua orang tahu, semalam bekas Perdana Menteri, Najib Razak telah didapati bersalah dalam kes SRC.
Sementara pandangan politik aku telah berubah dari kiri ke kanan, pandangan aku terhadap kes Najib ni tak pernah berubah, kalau dia bersalah, hukum dan tak perlu bela dia.
Ramai yang menyangka aku menyokong Najib Razak selepas 2016, terutamanya orang yang langsung tak kenal aku. Faktanya, aku tak sokong dia, tapi aku tentang opponent dia, Dr. Mahathir yang jauh lebih korup dan seorang diktator.
Dan kes 1MDB yang diputar berulang-ulang bak radio rosak membuatkan aku naik jelak. Apabila Najib disabit kesalahannya oleh mahkamah semalam, benda pertama aku fikir ialah siapakah Dr Mahathir akan sebut namanya lepas ni bila dia belum makan ubat dan start nak meroyan.
Perkara kedua yang aku fikir, dan yang lebih penting, adakah UMNO, parti yang menjadi tunjang politik orang Melayu sudah bersedia untuk teruskan perjalanan sebagai sebuah parti politik pada pasca Najib Tun Razak.
Tidak seperti PKR yang mana Anwar Ibrahim lebih besar daripada parti, atau DAP yang mana keluarga Lim lebih besar daripada parti, UMNO sudah berkali-kali bertukar kepimpinan.
UMNO sejak 1946 sudah mempunyai 8 orang presiden walaupun ramai orang yang tidak faham politik Malaysia mengatakan UMNO ni parti patriarchy atau parti yang kukubesi.
Kalau kita mengikuti pemilihan UMNO dari peringkat serendah-rendah memilih ketua cawangan kampung, pemilihan mereka dari akar umbi lagi sampai ke atas adalah berlandaskan bagaimana parti politik di Britain memilih kepimpinan.
Cara pemilihan, dari cawangan, bahagian, Ahli Majlis Tertinggi, sayap pemuda, sayap wanita, sayap Puteri sampailah ke Naib Presiden, Timbalan Presiden, dan Presiden – daripada asalnya meniru gaya Parti Konservatif atau Parti Buruh di Britain memilih pemimpin.
Tak percaya, cuba follow pemilihan parti politik di Britain dan follow juga pemilihan UMNO. Lebih kurang. Aku telah melihat secara teliti masa Boris Johnson menjadi ketua Parti Konservatif, dan aku juga melihat pemilihan Keir Starmer sebagai ketua Parti Buruh menggantikan Jeremy Corbyn tahun ni.
Soal kalau kau nak cakap tentang politik wang atau rasuah tu, mana-mana demokrasi pun ada. Di Britain pun ada kickbacks. Tak perlu kita buat-buat naif tentang ini.
Sistem ini berbeza dengan parti lain yang dibina di atas nama individu, yang seterusnya akan membina cult of personality. Sebab itu dalam parti yang mengamalkan sistem macam ni akan ada faction ini dan faction itu.
Macam contoh, Keir Starmer adalah faction Blairites yang sudah putus asa dengan faction Corbynistas yang cuba memenuhi citarasa left wing woke London Bubble sampai Parti Buruh kalah teruk di kawasan tradisi Red Belt yang melingkar di Middle England pada pilihan raya 2019 lalu.
Dalam pemilihan Konservatif pula, Boris Johnson dalam faction pro Brexit menentang mereka yang pro-EU macam konco-konco David Cameron.
Jadi dalam UMNO pun ada faction yang tersendiri. Ada pro-Najib, ada yang cuba menarik perhatian Bangsar Bubble dan anak muda, ada yang pro-Zahid, ada yang pro-Ku Li. Macam-macam.
Dalam realisme politik, kita mungkin tak boleh bersetuju semua perkara, tapi kita kena bersetuju dalam satu perkara fundemental. Perkara fundemental ialah perkara yang tak boleh dibawa bincang atau boleh ditolak tepi.
Contoh, dalam politik Amerika, hampir semua evangelis Kristian yang menyokong Donald Trump, bukannya suka pun dengan perangai Donald Trump. Dah la kaki perempuan, bina kasino, bermewah-mewah.
Tapi mereka semua bersatu menyokong Donald Trump atas satu isu fundemental – abortion. Di Amerika lepas kes Roe v Wade, pengguguran anak dibenarkan sebagai hak, dalam Perlembagaan Amerika, sedangkan perkara itu adalah berdosa bagi mereka.
Donald Trump berjanji kalau dia jadi presiden, dia akan lantik hakim konservatif yang akan menghalang kes pengguguran daripada berleluasa, dan memang betul Donald Trump tunaikan janjinya pun. Selain melantik dua Supreme Court (Hakim Mahkamah Agung, mahkamah paling tinggi di AS), Trump juga melantik ramai hakim yang pro Kristian dan anti abortion.
Kesilapan golongan sayap kiri dalam Demokrat (geng Bernie Sanders, AOC atau Ilhan Omar) ialah mereka ada terlalu banyak perkara fundemental sampai semua benda mereka tak nak bersetuju di luar bubble mereka.
Jadi, UMNO perlukan satu isu fundemental untuk terus kekal relevan. Kalau terlalu banyak isu fundemental, ia hanya akan memecahbelahkan parti dengan mewujudkan lebih banyak faction dalam parti yang tak akan mampu dikawal.
UMNO dalam politik Malaysia adalah GOP, Grand Old Party. Kenapa Republikan di Amerika dipanggil GOP, atau Konservatif di Britain atau Kanada dipanggil Tories, sebab mereka mewakili suara konservatif dari Heartland negara masing-masing.
Apa yang UMNO perlu telusuri selepas Najib ni, katakan la Najib ni masuk Sungai Buloh, ialah memahami apa suara Heartland Malaysia mahukan. Mereka menyuarakan kebimbangan ke atas nilai-nilai Bangsar Bubble yang mula diasak ke kampung-kampung.
Bayangkanlah orang-orang kampung yang selama santai-santai berurus niaga; jual padi dengan orang Cina atau beli barang kat kedai runcit orang India, tiba-tiba dituduh rasis oleh mat dan minah Bangsar Bubble sebab tak bersetuju dengan “Migran Juga Manusia”.
Mereka yang selama ini jujur dan amanah, saling bantu membantu antara penduduk kampung (terutamanya nak Raya Haji ni, masing-masing tolong jaga lembu sekampung di surau) tiba-tiba dituduh penyokong kleptokrasi hanya sebab dua tiga ahli politik PH kata macam tu.
Asakan nilai inilah yang UMNO perlu fokus, dan bukan sibuk nak jadi relevan kepada Bangsar Bubble dan golongan liberal.
Apa yang establishment Republikan cuba buat selepas Mitt Romney kalah dengan Barack Obama dalam pilihanraya 2012 ialah cuba jadi relevan kepada golongan minoriti dan golongan urban.
Sebab itulah calon macam Marco Rubio dan Jeb Bush dipilih golongan establishment. Tapi Trump memilih untuk mengambil suara Heartland Amerika dan seterusnya membelasah establishment Republikan sampai lunyai dan menjadi calon kepada parti tersebut.
Dan begitu jugalah yang perlu dilakukan oleh UMNO. Sebab yang penting bukannya individu yang lead parti tu, tapi parti tu sendiri. Pemimpin UMNO datang dan pergi. Ada yang lepas tu dia jadi pemimpin parti lawan pun ada. Sebab UMNO bukan parti cult of personality.
Dan sebab itu, UMNO kena move on daripada Najib Razak, tapi bukan sebab nak pandering kepada golongan urban liberal, tapi untuk memenangi suara Heartland yang diketepikan oleh media-media yang bersarang di Bangsar dan Petaling Jaya.
PenggerakDaily
*Artikel di atas tidak semestinya mencerminkan pendirian Penggerak Daily