JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu menyokong usaha yang dilakukan pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew yang berhasrat untuk membangunkan tiga sekolah dalam usaha dakwahnya di Semporna, Sabah.
Ikon Belia Negeri Johor, Farkhan Haron berkata, walaupun kawasan tersebut dalam kategori bahaya, usaha murni itu perlu dibantu dan diberi sokongan penuh.
Katanya, golongan anak muda di Johor sentiasa mengikuti perkembangan dan menyokong usaha Ustaz Ebit Lew dalam memberi dakwah dan bantuan secara luar biasa di seluruh negara.
“Usaha ini sepatutnya mendapat sokongan semua pihak tanpa mengira latar belakang kaum di negara ini.
“Kita juga sepatutnya menggalakkan lebih banyak usaha anak muda seperti ini yang berkorban masa dan wang ringgit dalam waktu sukar sebegini dengan memberi sokongan dalam usaha beliau,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Ustaz Ebit Lew dalam Facebook rasminya kelmarin melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat meneruskan misi bantuan Covid-19 di pulau sekitar Semporna atas faktor keselamatan dan berisiko didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun jika ingkar.
Beliau sebelum itu menyampaikan bantuan di beberapa pulau di daerah itu dan turut bercadang membina tiga buah sekolah dengan enam guru untuk mengajar kemahiran asas menulis, membaca, mengira, asas Islam, akhlak dan kasih sayang.
Farkhan yang juga seorang petinju profesional negara turut berkata, jika usaha murni seperti itu tidak disokong secara serius, dibimbangi ia akan mengurangkan minat golongan muda untuk turut menyumbang kepada pembangunan negara.
“Anak muda negeri ini sentiasa menyokong usaha ikon muda Malaysia, Ustaz Ebit Lew membantu dan menyebarkan dakwah dan kasih sayang.
“Oleh itu kami berharap semua pihak dapat berikan sokongan kepada usaha itu. Ini kerana masa depan sesebuah negara bergantung kepada anak muda,” ujarnya lanjut.
Penggerak Daily