JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyediakan perkhidmatan bas ekpres bagi membolehkan seramai 650 penuntut mereka untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.
Program Jom Balik Raya 2023 anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM itu dilaksana dengan kerjasama Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (JTNCHEP), UTM Fleet dan barisan Persatuan Anak Negeri UTM.
Pengarah Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar JTNCHEP, Prof. Madya Dr. Azlan Abdul Latib berkata, untuk menjayakan program itu, sebanyak 17 buah bas digunakan meliputi 11 negeri di semenanjung.
Katanya, bas yang disediakan melibatkan tiga bas UTM Fleet, 13 bas syarikat luar dan sebuah bas Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata).
“Selain itu, kita juga mendapat kerjasama daripada pertubuhan Himpunan Siswazah Kelantan (Himsak) dan Sekretariat Mahasiswa Negeri Sembilan (Semanis).
“Program ini bertujuan membantu penuntut yang tidak sempat membeli tiket untuk pulang. Semua bas itu berlepas pada pukul 10 malam tadi daripada Dataran UTM Skudai, di sini,” katanya kepada pemberita.
Tambah beliau, program tersebut telah mula dilaksanakan UTM sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksana ketika tempoh pandemik Covid-19 lalu.
Sementara itu, Menurut penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Muhammad Alif Asyraf Mazlan, 20, dia pada mulanya berasa bimbang tidak sempat balik beraya kerana kehabisan tiket untuk pulang ke kampung halaman di Pasir Putih, Kelantan.
“Tetapi saya rasa lega dan gembira apabila dimaklumkan pihak universiti ada menyediakan bas untuk penuntut, sekarang saya sudah tidak sabar mahu pulang ke kampung. Ini kali pertama saya pulang ke rumah sebagai seorang perantau, jadi saya berasa teruja.
“Inisiatif ini sangat bagus untuk kami terutamanya yang tidak dapat membeli tiket atau tertinggal bas, sekurang-kurangnya kami juga dapat berjimat kerana dapat menaiki bas terus di universiti,” katanya yang merupakan pelajar tahun pertama.
Bagi Nor Yus Amierah Yusliza, 23, pula, dia tidak pernah menggunakan perkhidmatan bas disediakan UTM sebelum ini namun terpaksa berbuat demikian kerana tidak dapat membeli tiket lebih awal.
“Ini pertama kali saya pulang ke kampung menaiki bas UTM, sebelum ini saya akan pergi membeli tiket di Larkin Sentral. Apabila tidak dapat tiket, ayah dari kampung beritahu dia akan datang ambil, tetapi bila fikirkan ada bas UTM ini, saya pilih untuk gunakan khidmat ini, jadi tak perlu susahkan ayah,” katanya yang pulang ke kampung di Kemaman, Terengganu.
Seorang lagi penuntut, Ng Zi Yan, 22, memberitahu, dia juga tidak mahu melepaskan peluang pulang ke rumah di Subang Jaya, Selangor untuk bercuti panjang bersama keluarganya sempena Aidilfitri ini.
“Program ini agak baik kerana kita tidak perlu keluar dari UTM untuk membeli tiket dan sebagainya, jadi proses pulang bercuti dapat dibuat dengan lebih cepat,” katanya.
Penggerak Daily