JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memperluas bidang penyelidikan dan pembangunan bidang siasatan jenayah melalui penubuhan Makmal Satelit Forensik Geospatial UTM-PDRM.
Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, penubuhan makmal satelit itu sejajar dengan inisiatif UTM enVision 2025 berdasarkan tiga teras strategik yang berkaitan.
“Tiga teras itu adalah dalam penghasilan bakat holistik bertaraf dunia untuk memperluas bidang pendidikan dan penyelidikan, pengembangan institusi menerusi kebitaraan yang unik dan khusus untuk kelestarian masa panjang dan transformasi pengalaman hidup menerusi pemerkasaan ilmu pengetahuan dan kepercayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian yang disempurnakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Tambahnya, penubuhan makmal satelit itu bertujuan mewujudkan ruang kondusif bagi warga akademik dan penyelidik UTM, PDRM serta pihak industri dalam menjalankan kerja-kerja penyelidikan.
“Antara fokus termasuklah berkaitan aktiviti penerbitan, perundingan, perkongsian kepakaran melalui perpindahan teknologi, kursus profesional dan khidmat inovasi.
“Makmal satelit yang bertumpu kepada aplikasi teknologi Geospatial seperti Terrestrial Laser Scanning (TLS), Airborne LiDAR, Unmanned Aerial Vehicle (UAV), Photogrammetry, Geographical Information System (GIS), Augmented Reality (AR) dan Virtual Reality (VR) ke dalam bidang forensik ditempatkan di Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM,” jelasnya lanjut.
Sementara itu, Acryl Sani pula memberitahu, kerjasama strategik itu mampu meningkatkan usaha PDRM khususnya pihak Jabatan Siasatan Jenayah dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Ini dapat memperkemas lagi siasatan dalam bidang forensik, seterusnya menyumbang kepada dapatan ilmiah yang akan memberi manfaat kepada semua pihak,” jelasnya ringkas.
Untuk makluman, Acryl Sani merupakan alumni UTM pada 1985 dalam bidang Kejuruteraan Awam.
Sementara itu, kerjasama antara UTM dengan PDRM telah bermula sejak 2021 melalui kunjungan hormat kedua-dua belah pihak diikuti dengan penghasilan penerbitan penyelidikan serta sumbangan penyelidik UTM sebagai pakar rujuk.
Penggerak Daily