Kerajaan menanggung kos sebanyak RM77.35 bagi setiap rakyat Malaysia yang menerima vaksin Covid-19, ia jauh lebih murah berbanding negara Belgium.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, ia membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM2.05 bilion.
Jelasnya, pemberian vaksin secara percuma menerusi Program Imunisasi Kebangsaan itu dijangka melibatkan 82.8 peratus populasi atau 26.5 juta individu.
“Peruntukan tersebut adalah kurang dari Belgium yang memperuntukkan RM1.38 bilion untuk 16.75 juta rakyatnya.
“Ini bermakna jumlah peruntukan oleh Belgium bagi setiap rakyatnya adalah sebanyak RM82.40,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan Khairy itu bagi menjawab dakwaan Penasihat DAP Lim Kit Siang bahawa Malaysia membayar wang yang lebih untuk vaksin Covid-19.
Ia dakwanya selepas Belgium mendedahkan yang mereka membeli vaksin berkenaan pada harga lebih murah.
Kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, pendedahan menteri dari Belgium bahawa harga vaksin tersebut 20 kali ganda lebih murah daripada harga sebenar.
Justeru itu beliau mempersoalkan tindakan kerajaan memerlukan RM3 bilion untuk mendapatkan vaksin untuk 6.4 juta rakyat Malaysia.
Pada 24 November lalu, Malaysia mengumumkan akan mendapatkan bekalan awal sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada Pfizer bagi menampung keperluan imunisasi 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini secara percuma.
Sumber: MalaysiaPost