PASIR GUDANG: Dana persaraan yang terdapat dalam simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan harta peribadi rakyat dan bukan merupakan rezab negara.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, sehubungan itu rakyat mempunyai hak ke atas wang yang dicarum dimana perkara itu terjamin menerusi Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, undang-undang yang mengawal operasi KWSP tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan, di mana Perkara 13 menjamin hak rakyat terhadap harta dan wang ringgit mereka.
“Kerajaan Malaysia patut benarkan pencarum KWSP keluarkan wang daripada akaun 1 mereka sehingga RM10,000 secara sekali gus, kerana itu duit tabungan mereka sendiri.
“Mereka bukan mahu keluarkan semua, sekurang-kurangnya dengan jumlah berkenaan mereka dapat memulakan ikhtiar baharu untuk meneruskan hidup,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Dalam pembentangan Bajet 2021 lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kebenaran pengeluaran akaun 1 KWSP secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 bagi tempoh 12 bulan.
Namun terdapat permintaan daripada pelbagai pihak yang mahukan kerajaan membenarkan pengeluaran akaun 1 KWSP sehingga RM10,000 secara sekaligus kepada semua pencarum.
Tambah Hassan, sekiranya perkara tersebut tidak dipersetujui, kerajaan perlu memberi bantuan secara bulanan kepada individu yang terkesan seperti mereka yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19.
“Mungkin kerajaan perlu beri bantuan bulanan RM1,000 kepada individu yang layak, tetapi adakah kerajaan sedia untuk berbuat demikian.
“Jika tidak, kerajaan perlu akur dengan permintaan majoriti masyarakat negara ini yang mahukan kebenaran untuk mengeluarkan wang simpanan KWSP mereka,” ujarnya.
Beliau turut memintanya kerajaan untuk mempercayai kemampuan rakyat negara ini untuk menguruskan kewangan mereka lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang mencabar ketika ini.
“Pencarum yang menuntut hak mereka itu adalah untuk memastikan kelangsungan hidup berkeluarga mereka ketika ini, mereka memilih untuk terus hidup dan bukan sebaliknya,” tambahnya lanjut.
Penggerak Daily