JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga Indonesia yang bekerja di sebuah rumah penjagaan sanggup menipu dan berpura-pura seolah-olah dia telah menjadi mangsa penderaan hanya semata-mata kerana mahu pulang ke negara asalnya.
Tindakan wanita berusia 40-an itu dikesan melalui satu rakaman video yang tular di media sosial TikTok, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Superitendan Raub Selamat berkata, siasatan pihaknya mendapati video tersebut telah dirakamkan, semalam.
“Video itu memaparkan seorang wanita warga Indonesia mendakwa dirinya didera oleh majikan semasa bekerja sebagai tukang bersih dan pembantu di sebuah ‘nursing home’ di daerah ini.
“Ekoran penularan video berkenaan, Ketua Polis Balai Taman Pelangi bersama wakil Kedutaan Indonesia di negeri ini telah ke lokasi bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Hasil siasatan dan temubual yang dijalankan terhadap wanita dan juga majikan premis berkenaan mendapati tiada sebarang unsur penderaan berlaku, sebaliknya wanita itu mendakwa sedemikian kerana mahu pulang ke negara asalnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Raub, wanita itu telah diserah kepada pihak kedutaan Indonesia untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Raub turut menasihatkan orang awam agar mengesahkan kesahihan setiap kandungan video yang diterima sebelum menularkannya.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan kandungan berita, khabar angin atau berita tidak sahih,” tegasnya.
Sementara itu, dalam rakaman video tular berdurasi 4 minit 29 saat itu, seorang wanita wanita berambut pendek dan berpakaian tshirt berwarna merah jambu dilihat telah mengadu kepada rakannya dengan mendakwa dia telah didera di tempat kerjanya.
Wanita terbabit juga dipaparkan sedang menunjukkan kesan kemerahan di bahagian belakang badan dan tangan yang didakwa ditarik majikannya.
Penggerak Daily