JOHOR BAHRU: Lelaki warga emas yang dilepas tanpa dibebaskan Mahkamah Majistret di sini pagi tadi kerana menampar seorang pemuda bukan Muslim mengaku tidak bersalah atas kesalahan itu dan mohon dibicarakan.
Orang kena saman (OKS), Abdul Razak Ismail membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan di hadapan Majistret, A. Shaarmini dalam sesi prosiding mahkamah yang diadakan semula, petang tadi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, warga emas berusia 65 tahun itu didakwa telah dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada seorang pemuda di kedai serbaneka sebuah pusat beli-belah di sini pada pukul 6.15 petang, Ahad lalu.
Atas perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga setahun serta denda RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa meminta PKS diberikan jaminan sebanyak RM8,0000, manakala peguam OKS, Mohd. Salleh Togimin memohon mahkamah memberikan jaminan rendah.
“OKS merupakan seorang pesara kerajaan dan menyara seorang isteri serta tiga orang anak dengan seorang daripadanya masih menuntut di universiti awam di Sabah.
“Oleh itu, saya mohon jaminan rendah dan tidak membebankan ahli keluarga kerana jaminan RM8,000 adalah satu jumlah yang melebihi untuk kesalahan seperti ini,” katanya.
Majistret kemudian menetapkan jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, selain tarikh 29 April untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Pada prosiding di mahkamah sama pagi tadi, Majistret menetapkan kes bersabit tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) selepas pendakwaan meminta kes tersebut dirujuk ke Ibu Pejabat Peguam Negara (AGC), Putrajaya ketika prosiding sedang berlangsung.
Ahad lalu, tular dua rakaman video berdurasi 32 saat dan 44 saat berkaitan insiden seorang pemuda bukan Muslim ditampar seorang lelaki lain ketika sedang makan di kedai serbaneka dalam sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini.
Ekoran itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dilapor berkata perbuatan tersebut merupakan tindakan provokasi yang tidak mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian negara.
Katanya lagi, beliau mengutuk keras sebarang bentuk keganasan, diskriminasi dan sikap prejudis yang boleh merosakkan keharmonian antara kaum.
Penggerak Daily