JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga Singapura mendakwa telah ditahan selama tujuh hari oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) setelah terlibat dalam satu perselisihan dengan seorang pegawai di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini.
Berdasarkan laporan sebuah portal republik berkenaan, wanita yang dikenali sebagai Atalia Chua, 36, itu telah berkunjung ke negara ini pada pukul 8.40 pagi, 7 Ogos lalu.
Bagaimanapun, cubaannya untuk mengimbas pengesan biometrik sebanyak dua kali gagal, sebelum menuju ke kaunter untuk mendapatkan perkhidmatan lanjut.
Namun begitu, dakwanya, pegawai yang bertugas di kaunter berkenaan bertindak secara agresif dan turut memaklumkan kaunter tersebut telah ditutup.
Wanita itu kemudian pergi ke kaunter berlainan, sebelum pegawai di kaunter itu turut meninggikan suara terhadapnya menggunakan campuran Bahasa Melayu dan Inggeris.
Dia kemudian bertindak merakam video kejadian, sebelum ditahan dan diminta untuk memadamkan rakaman tersebut untuk dilepaskan.
Bagaimanapun, setelah memadam video tersebut, dia tetap ditahan selama tujuh hari selain turut diminta menandatangani satu borang bertulis Bahasa Melayu namun dia enggan.
Ahli keluarga wanita itu kemudian mendapat maklumat berhubung kejadian tersebut dan membuat aduan kepada Kementerian Luar Singapura.
Dia kemudiannya dilepaskan pada pukul 4 petang 13 Ogos lalu selepas menandatangani satu dokumen dikeluarkan JIM yang memberikan amaran keras terhadap wanita berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Penggerak Daily