Dua wira yang terlibat dalam insiden berbalas tembakan di sempadan Malaysia-Thailand kelmarin bukan calang-calang orang kerana mereka dari unit Senoi Praaq, Pasukan Gerakan Am (PGA), unit yang digeruni musuh sejak zaman komunis hingga sekarang.
Orang Asli yang dipilih menyertai unit itu merupakan mereka yang mahir dan pakar dalam soal hutan belantara, suatu kemahiran yang tidak boleh diperolehi melalui buku teks.
“Kepakaran mereka ini merupakan satu kemahiran yang sememangnya ada pada diri mereka sahaja dan ilmu tersebut tidak dapat ditimba melalui buku, sebaliknya diperolehi melalui pengalaman (tinggal) di hutan,” kata Senator Dato’ Isa Ab Hamid yang mewakili masyarakat Orang Asli di Dewan Negara.
Beliau yang berasal dari masyarakat Orang Asli Melayu Proto dari suku kaum Kuala di Johor berkata, perkara itu terbukti apabila pasukan yang ditubuhkan pada Mei 1956 oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Leftenan Kolonel R.O.D. Noone itu telah dipilih menyertai pelbagai operasi termasuk operasi menjejak komunis, mengawal sempadan negara serta misi mencari dan menyelamat orang hilang di hutan.
“Penubuhan pasukan ini (ketika itu) kerana Orang Asli mempunyai kemahiran dalam bidang ‘tracking’ (menjejak) yang mana boleh membantu pasukan keselamatan membuat serangan ke atas komunis, selain menyelamatkan masyarakat daripada dipengaruhi fahaman komunis.
“Mereka bukan sahaja bertindak sebagai pasukan serang hendap tetapi juga sebagai pengintip, penjejak jalan di hutan dan menghidu kubu-kubu serta membunuh komunis,” katanya kepada BERNAMA.
Sungguhpun kini tiada lagi ancaman komunis, namun peranan Senoi Praaq tetap diperlukan negara selain bertugas mengawal sempadan bersama-sama pasukan keselamatan dan terlibat dalam misi menjejak.
“Memang tidak dapat dinafikan kemahiran luar biasa Senoi Praaq ini memandangkan ilmu yang mereka ada tidak terdapat dalam mana-mana pasukan keselamatan lain.
“Mereka sangat diperlukan untuk tugasan pertama sewaktu melakukan serangan hendap. Merekalah yang membuat dapatan, kajian intipan, menjejaki sebarang tanda, laluan atau simbol dalam hutan termasuk mengesan bau asap dan kesan pokok dan kesan air. Semuanya mereka boleh kesan,” katanya.
Dato’ Isa berkata Orang Asli yang menyertai Senoi Praaq juga memiliki semangat yang kental, digeruni lawan, lasak, tidak mudah berputus asa dan sanggup berkorban demi negara dan tanah air tercinta.
Sumber: BERNAMA