JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Singapura hari ini bagi mengadakan Lawatan Negara selama dua hari sehingga esok.
Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua dari Istana Besar Johor di sini kira-kira pukul 10 pagi tadi menaiki kereta melalui Tambak Johor selepas Istiadat Mengucap Selamat Keberangkatan Sempena Lawatan Negara.
Dalam istiadat itu, Seri Paduka Baginda berdua menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja dengan diiringi lagu Negaraku dan doa keberangkatan pula diketuai oleh Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad.
Turut berangkat ke istiadat berkenaan, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim dan Che’ Puan Mahkota, Khaleeda Johor serta Paduka Anakanda.
Perkara itu dikongsikan dalam hantaran menerusi laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani.
Lawatan ke Singapura itu atas jemputan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam dan merupakan Lawatan Negara pertama Seri Paduka Baginda selepas menaiki takhta pada 31 Januari lepas.
Mengiringi keberangkatan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.
Dalam rangka lawatan ke Singapura itu, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan menerima Sambutan Negara di Istana, Singapura, diikuti dengan pertemuan bersama Tharman dan juga Perdana Menteri Singapura, Datuk Lee Hsien Loong.
Tharman juga akan meraikan Seri Paduka Baginda berdua di dalam satu Majlis Santapan Negara.
Pada lawatan hari kedua, Sultan Ibrahim juga dijadual telah berkenan untuk melawat Parlimen Singapura serta melihat perkembangan projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara Johor Bahru dan Singapura.
Penggerak Daily