JOHOR BAHRU: Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) bekerjasama dengan Amari Johor Bahru dalam menyantuni lebih 800 individu memerlukan sempena kehadiran Ramadan, tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishamuddin Abd. Rahim berkata, program tersebut bertujuan memberi keceriaan kepada penerima yang merupakan penduduk sekitar bandar raya ini.
Menurut beliau, ia merupakan kali keempat mereka bekerjasama dengan hotel terbabit dalam program berbentuk kebajikan.
“Sempena Ramadan tahun ini, kita menganjurkan program Kasih Ramadan, Cahaya Kebaikan melibatkan seramai 200 keluarga memerlukan, setiap keluarga dianggar melibatkan seramai empat atau lima orang.
“Penerima akan menerima bakul kasih yang mengandungi pelbagai barang keperluan harian termasuk beras, tepung, minyak masak, gula, garam serta makanan dalam tin,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara YRZSNJ dan Hotel Amari Johor Bahru, di sini hari ini.
Tambah Hishamuddin, program yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya itu turut bertujuan menggalakkan lebih banyak pihak membantu golongan memerlukan.
“Sasaran penerima sumbangan ini terdiri daripada individu memerlukan termasuk anak yatim, warga emas, gelandangan dan masyarakat B40,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Besar Amari Johor Bahru, Pauline Chua pula memberitahu, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan YRZSNJ dalam menyebarkan kebaikan sempena Ramadan tahun ini.
“Kita juga akan menganjurkan program iftar melibatkan 30 keluarga daripada penerima sumbangan program untuk memberikan keceriaan kepada mereka,” jelasnya.
Penggerak Daily