JOHOR BAHRU: Zoo Johor yang baharu dibuka semula bermula hari ini mendapat sambutan menggalakkan daripada ribuan pengunjung yang menggunakan peluang cuti umum sempena Sambutan Hari Kebangsaan, hari ini.
Seorang pengunjung, Fatanah Fadzil, 29, berkata, kunjungan ke Zoo Johor itu menggamit kenangan manis buat dirinya yang pernah berkunjung ke premis itu sebelum ia ditutup, tiga tahun lalu.
“Seronok rasanya dapat berkunjung lagi ke Zoo Johor hari ini. Saya datang bersama suami dan dua orang anak. Sebelum zoo ini ditutup dulu kami juga pernah berkunjung ke sini.
“Banyak perubahan telah berlaku, nampak sangat cantik dan selesa. Memang menggamit memori dan mengimbau kenangan masa saya datang ke sini pada waktu kecil dahulu, katanya kepada pemberita semasa ditemui pada hari pembukaan semula Zoo Johor, di sini hari ini.
Sementara itu, Elena Ho, 63, pula memberitahu, kali terakhir dia datang ke Zoo Johor adalah pada 40 tahun lalu.
“Sempena pembukaan semula hari ini, saya datang bersama cucu. Memang sangat menggembirakan. Haiwan lebih banyak berbanding dahulu dan kelihatan lebih terurus.
“Namun, jika saya boleh berikan sedikit cadangan, mungkin kaunter jualan tiket boleh ditambah bagi memudahkan lagi urusan pengunjung,” katanya yang menetap di Larkin.
Seorang lagi pengunjung, S. Angelena, 29, memberitahu, itu merupakan kali pertama dia dan keluarga berkunjung ke Zoo Johor kerana anaknya yang berusia 3 tahun mahu melihat pelbagai haiwan yang terdapat di sini.
“Tahun lepas saya ada datang tetapi tidak tahu rupanya sedang tutup untuk naik taraf. Jadi hari ini sempena pembukaan semula Zoo Johor dan cuti umum, saya datang bersama anak-anak.
“Sangat cantik dan selesa, anak-anak saya juga gembira kerana dapat meluangkan waktu cuti sekolah di sini,” katanya yang merupakan seorang pekerja kilang.
Zoo Johor yang berusia 96 tahun ditutup sejak 2020 bagi kerja-kerja naik taraf dengan peruntukan berjumlah RM9.7 juta.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor memaklumkan seramai lebih 3,500 pengunjung telah mengunjungi Zoo Johor setakat pukul 9.45 pagi tadi.
Penggerak Daily