Categories
Berita Budaya Politik Viral

ZURAIDA NAFI PKN TERLIBAT DENGAN WHATSAPP TULAR

Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara Malaysia (PKN) menafikan terlibat dalam satu mesej tular di aplikasi whatsapp berjudul “Arahan Kepada Media Penggerak Komuniti Negara & Perikatan Nasional” hari ini.

Penaung PKN Zuraida Kamaruddin berkata beliau dimaklumkan mengenai mesej tular itu pada pagi tadi yang mendakwa PKN mengeluarkan arahan berhubung kenyataan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

“Saya menegaskan bahawa PKN tidak menerima sebarang arahan daripada ketua penerangan Perikatan Nasional (PN) seperti yang ditularkan melalui aplikasi whatsapp itu.

“Saya juga menafikan sekeras-kerasnya penglibatan PKN serta kesemua sayap di bawah PKN yang terdiri daripada Nations of Women (NOW), Pemuda Negara dan Wanita Muda Negara sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dengan mesej itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan berharap pihak tidak bertanggungjawab menghentikan sebarang sebaran yang tidak benar.

Katanya, fokus kerajaan PN adalah memerangi wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara supaya rakyat mendapat kesejahteraan dan kemakmuran bersama.

Semalam, Ahmad Maslan berkata Umno membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN dan akan memberi syarat baru kepada gabungan itu bagi meneruskan kerjasama politik untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Sumber: MalaysiaNow

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *