JOHOR BAHRU: Seramai 2,500 peserta dari Johor dan kawasan berhampiran menyertai program Keretapi Sarong Johor 2024 (KSJ24) yang diadakan di pusat bandar raya ini, pagi tadi.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim berkata, acara tersebut bertujuan semangat perpaduan antara rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Menurut beliau, aktiviti utama adalah perarakan sejauh 2 kilometer yang bermula di batu tanda 0 kilometer, sebelum perarakan melalui Legaran Sungai Segget dan berakhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.
“Acara KSJ24 merupakan platform memperkenalkan budaya tempatan dan memupuk semangat perpaduan rakyat Malaysia. Ia juga memberikan peluang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk dan mengembangkan jenama perniagaan mereka.
“Aktiviti ini selaras dengan program Kesenian, Warisan dan Budaya yang dilaksanakan menerusi Tabung Projek Sosial Iskandar Malaysia. Program ini menyokong inisiatif berasas komuniti selain turut menyumbang kepada pengaktifan teras warisan di pusat bandar Johor Bahru,” katanya.
Tambah beliau, selain perarakan, KSJ24 turut menyaksikan pelbagai program termasuklah aktiviti bacaan ikrar, persembahan kebudayaan seperti gendang Cina, tarian Ronggeng, tarian India, tarian Orang Seletar, tarian Zapin, tarian Borneo, dikir barat, ghazal dan juga gamelan.
“Sementara di Persada, aktiviti diteruskan dengan program Hab Hab Hooray yang menyaksikan 29 usahawan makanan dan minuman serta 29 usahawan kraf membuka gerai jualan mempromosi produk mereka.
“Sebahagian usahawan ini juga merupakan bekas peserta program keusahawan IRDA iaitu Iskandar Malaysia Youth Entrepreneurship Scheme (IMYES) dan Iskandar Malaysia Business Upskilling for Youth (IMSKILL),” jelasnya.
Penggerak Daily