Oleh: Editorial Penggerak Daily
Orang dulu tak sound kita tegak-tegak. Dia bagi analogi, perumpamaan. Kalau pasangan kekasih asyik nak berkepit, belangkas turut terlibat.
Selalu kita dengar pepatah lama kata, berkepit bagai belangkas. Jadi, apa itu belangkas? Kenapa nama dia naik dalam isu kepit-mengepit ini?
Belangkas sejenis haiwan dari keluarga Limulidae yang hidup di laut masin dan sedikit di paya air tawar. Nama saintifik belangkas yang hidup di pinggir pantai ialah Tachypleus Gigas. Susah sebut.
Haiwan berbentuk topi besi tentera British ini mempunyai ekor panjang, keras dan tajam. Belangkas ini ada perangainya. Kalau sudah berpasangan, dia akan bersama pasangannya sepanjang masa. Tak mahu berenggang.
Di Kota Tinggi, belangkas jadi makanan eksotik. Haiwan berdarah biru ini dihidangkan bukan kerana isinya, tetapi telurnya.
Telurnya yang berwarna kekuningan, kenyal dan rasanya berlemak menjadikan telurnya sedap. Bagi menghilangkan bau hanyir belangkas, mesti direndam dalam air beras sebelum dimasak.
Namun, hanya belangkas betina yang ditangkap untuk mendapatkan telurnya. Belangkas boleh dimasak pelbagai cara – asam pedas, masak lemak cili padi atau masak sambal.
Namun awas, kalau tak pandai siang belangkas, bahaya pada si pemakan kerana racun di tengah perutnya perlu dibuang terlebih dahulu.
Pada siapa yang tak pernah makan belangkas, bolehlah ke Kota Tinggi merasa bermacam-macam jenis masakan belangkas.
PenggerakDaily