JOHOR BAHRU: Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang 2024 (FLLSPG24) Kali ke-26 yang akan diadakan bermula 24 Februari hingga 3 Mac di Bukit Layang-Layang, Taman Bandar, Pasir Gudang menyasarkan kehadiran seramai 500,000 pengunjung.
Yang Dipertua Persatuan Pelayang Johor, Datuk A. Rahim Nin berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dalam penganjuran tahun ini.
Menurut beliau, pihaknya telah menyerahkan dana peruntukan awal berjumlah RM130,000 kepada institusi pengajian tinggi itu bagi menjayakan kolaborasi tersebut.
“Kita menandatangani sijil kerjasama untuk memulakan satu transformasi baharu yang begitu bersejarah iaitu selepas 25 tahun kita bergerak bersama-sama dalam kerterlibatan festival layang-layang yang diadakan setiap tahun di Pasir Gudang.
“FLLSPG24 Kali ke-26 dengan tema Budaya Dinamik menyasarkan kehadiran seramai 500,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Sementara di, penglibatan PIS sebagai rakan kolaborasi di festival ini akan merangkumi pelbagai aspek termasuklah rekaan logo rasmi, pegawai pengiring dan tugas pendaftaran, taklimat, sambutan peserta antarabangsa dan lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani sijil kerjasama antara PIS dan Majlis Pelayang Malaysia, di sini.
Sementara itu, Pengarah PIS, Ulaimi Yahya berkata, pihaknya telah menandatangani sijil kerjasama (CoC) dengan Majlis Pelayang Malaysia sempena penganjuran FLLSPG24 Kali ke-26.
“Kerjasama ini selaras dengan Pelan Hala Tuju Transformasi Politeknik 2023-2030 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 4 Disember lalu.
“Sepanjang tahun ini, kita akan laksanakan pelbagai program berimpak tinggi bukan sahaja kepada institusi tetapi juga kepada pihak-pihak yang berkolaborasi dengan PIS.
“Penganjuran FLLSPG24 Kali ke-26 ini juga amat selari dengan aktiviti-aktiviti TVET negara dan keterlibatan yang akan memberikan manfaat kepada staf serta penuntut PIS,” jelasnya.
Penggerak Daily