Oleh: Ahmad Roi
Zaman ini serba pantas, lambat sikit kau akan dipintas – Seragam Hitam, Kristal
Benar, dari hari ke hari masa semakin cepat. Dulu kalau mahu berbagi pesan, makan hari juga kita menunggu abang posmen hantar surat.
Kemudian, zaman mat/minah karen teknologi makin canggih, mereka ada telefon awam. Syaratnya syiling kena cukup, kalau tidak dapat penat saja beratur panjang.
Masuk pertengahan 1990-an, kebanyakan kita sudah ada telefon rumah. Bagi remaja kaki gayut, pandai-pandailah ambil hati orang tua bila bil sampai.
Kemudian komputer meja mula masuk ke rumah disusuli internet. Dengan komputer meja sebesar akuarium, capaian kita kepada maklumat dan pesan makin cepat. Bagi yang tidak ada komputer dan internet di rumah, cybercafé jadi syurga.
Teknologi terus menerus diperbaharui. Dari komputer meja, komputer riba hinggalah kepada telefon pintar. Dengan telefon pintar, internet dan kita lebih akrab – dari cybercafé sampailah ke bilik tidur.
Kini, pada 2019 sebanyak 79 peratus rakyat Malaysia mempunyai telefon pintar – alat penghubung antara kita dan internet. Internet jadi nyawa bagi generasi masa ini.
Dari kerja cari maklumat sekolah/pejabat, pesan McDonald, dapatkan grab, tonton filem Netflix sampailah berhibur-hibur nyanyi duet di Smule – semuanya wajib dengan internet.
Internet lahirkan generasinya sendiri. Ada yang panggil generasi millenia. Ada yang panggil generasi Z. Apapun panggilannya, yang pasti generasi ini terbentuk kesan dari kemajuan teknologi komunikasi – internet. Generasi ini ternyata bijak. Dengan limpahan maklumat dan kelajuan proses mendapatkan maklumat, generasi ini menjadi manusia serba tahu.
Ada satu kisah, tentang seorang kawan berasal dari Sedili Besar yang menetap dan berkeluarga di Kuala Lumpur. Dia menceritakan kecerdikan anaknya berumur 9 tahun yang menghafal hampir semua jenis ikan laut – dari ikan laut cetek seperti blackdrum, flounder, bonito, mekerel sampailah ikan laut dalam seperti anglerfish, fangtooth dan jerung goblin. Hebat sungguh!
Kata kawan tadi, anaknya mampu menghafal beratus jenis ikan laut kesan dari hobi bermain games pancing ikan secara online. Mengujakan. Usianya baru 8 tahun tapi maklumatnya tentang ikan lebih daripada kebanyakan kita-kita.
Tapi, dalam zaman maklumat yang serba pantas, pasti ada yang tertinggal. Kata kawan tadi, walaupun anaknya mampu menghafal beratus jenis ikan laut, tapi nama-nama ikan itu hanya jadi maklumat yang dihafal, tanpa pengalaman memancing macam zaman kita dulu.
Sebanyak manapun anak itu menghafal nama-nama ikan laut tidakkan sama pengalaman mengail haruan atau keli di lubuk-lubuk parit. Sudahnya, pada cuti sekolah yang lepas, di Sedili Besar, anaknya hampir pitam akibat terkejut bila umpan cacing disangkakan anak ular.
Sudah pasti, pengalaman kecil ini besar harganya untuk anak kawan itu tadi. Walaupun tidak mampu kenal semua jenis ikan laut dalam, tapi pengalaman nyata ini membuka semua pancaindera untuk mengenal alam kelilingnya.
Bau sungai, teknik pasang umpan di mata kail, teknik buang sengat dan meredah lubuk ikan antara pengalaman memancing yang tidak dapat di atas talian. Apakah yang berharga dari pengalaman ini? Manusia akan akrab, faham dan kenal alam sekelilingnya.
Fakta:
- Malaysia merupakan antara negara mencatatkan jumlah penduduk memiliki telefon pintar tertinggi dengan menduduki tempat ke-10 di dunia.
- 7 peratus rakyat Malaysia merupakan pengguna Internet
- Lebih 60 peratus daripada golongan belia berusia 18 hingga 25 tahun di Malaysia menghabiskan masa lebih lima jam sehari, untuk melayari internet.
- 55 peratus remaja ketagihan internet cenderung mengalami masalah mental.
PenggerakDaily
*Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Penggerak Daily
Kredit gambar: Ultralightangler.com