Oleh: Ahmad Roi
Sebelum kita kenal hantu bonceng, hantu botol kicap dan hantu-hantu sekarang yang tak berapa nak seram, ada hantu purdah kancil merah . Katanya, perempuan tersebut adalah hantu yang memburu anak dara. Lagi legend, hantu ini bawa kancil merah. Rasanya kancil standard. Generasi 90an pasti ingat cerita ini. Seram.
Cerita pasal hantu purdah tular pada tahun 1997. Cerita hantu purdah ada banyak versi. Ada yang kata dia bukan hantu. Tapi seorang pelajar perempuan IPT yang muka biasa-biasa. Nak bagi cantik, dia pun jumpa bomoh. Entah macam mana, dia langgar pantang. Mukanya jadi hodoh.
Satu versi lagi, yang ini logik sikit. Versi ini tak main mistik. Katanya hantu purdah itu cerita reka-reka untuk takut-takutkan perempuan yang keluar malam.
Versi reka-reka ini ada benarnya. Pada tahun 1997, Malaysia ketika itu fasa pembangunan dan pemodenan. Urbanisasi pesat. Kilang-kilang macam cendawan tumbuh. Ramai anak muda kampung keluar ke bandar atas tuntutan ekonomi.
Bila ramai anak muda – lelaki dan perempuan berpindah ke bandar, gaya hidup berubah. Perempuan yang sebelum ini tunggu di dapur kini bekerja.
Bila perempuan bekerja, ekonominya tak lagi bergantung pada lelaki. Mereka lebih yakin dan berani membuat keputusannya sendiri. Tidak ada lagi anak dara senyum tanda setuju. Zaman ini, kalau nak kata nak, kalau tak nak kata tak nak.
Perubahan ini pasti membimbangkan, lagi-lagi orang-orang tua di kampung. Jadi, keluarlah cerita-cerita hantu kononnya nak takut-takutkan anak dara mereka yang meliar di bandar.
Sebenarnya, fenomena ini bukan di Malaysia saja. Hampir semua cerita hantu moden di Asia mempunyai pattern yang sama – muncul sebagai perempuan dan menjadikan perempuan moden seksi sebagai mangsa utama.
Di Indonesia, ada Mak Lampir dan Sundel Bolong. Di Thailand, ada Phii Mae Maai atau dikenal sebagai ‘hantu janda’.
Mary Beth Mills pernah buat kajian pasal hantu janda yang popular di Isan, Thailand Timur. Isan merupakan daerah miskin sempadan Thailand – Laos. Pada 1995, ramai anak dara Isan merantau ke Bangkok. Rata-rata jadi pekerja seks.
Majoriti pekerja seks di Bangkok berasal dari daerah Isan. Hal ini membuatkan mak, ayah dan suami di kampung bengang dengan kemodenan dan bandar. Tapi, pada masa yang sama mereka tidak terdaya lakukan apa-apa apabila ditekan moden, kerana mereka hanya petani. Jadi, secara bawah sedar keresahan orang tua dan lelaki di Isan telah membina naratif hantu janda ini.
Kajian Beth Mills sama dengan Micheal Tausig. Bezanya, Tausig kaji hantu di Colombia. Kata Tausig, “sosok hantu moden selalunya perempuan kerana kecemasan lelaki berhadapan dengan pemodenan dan perindustrian yang meruntuhkan budaya patriaki”.
Jadi, kalau nak kata hantu purdah kancil merah adalah reka-reka, muncul akibat kecemasan lelaki, masuk akal juga. Anda percaya yang mana?
PenggerakDaily