Categories
Berita Budaya Food Kesihatan

KKM KUATKUASA GARAM HALUS PERLU DITAMBAH IODIN

Semua garam halus atau garam yang beratnya 20 kilogram atau kurang perlu ditambah dengan iodin sebelum boleh dijual di Malaysia.

Ia selaras dengan pindaan Peraturan 285 berkaitan Garam Halus Beriodin atau Garam Beriodin di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 telah diwartakan pada 12 November 2018 dan akan dikuatkuasa di seluruh negara pada 30 September 2020.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, pindaan peraturan ini adalah susulan daripada hasil dapatan Tinjauan Gangguan Akibat Kekurangan Iodin (IDD) Kebangsaan yang menunjukkan 48.2 peratus kanak-kanak sekolah rendah berumur 8 hingga 10 tahun mengalami masalah kekurangan iodin.

Selain daripada itu, 2.1 peratus kanak-kanak mengalami masalah goiter.

Bagi tinjauan melibatkan wanita hamil dan murid sekolah, pengambilan iodin juga tidak mencapai paras optimum, katanya.

Oleh itu, pelaksanaan Pengiodinan Secara Universal di Malaysia (USI) dapat membantu meningkatkan pengambilan iodin dalam kalangan masyarakat memandangkan garam merupakan bahan asas yang digunakan di semua peringkat lapisan masyarakat tanpa mengira status pendapatan.

Dalam hal ini, pihak KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kepatuhan peraturan ini setelah ianya dikuatkuasakan.

Kegagalan mematuhi pindaan Peraturan 285 adalah satu kesalahan dan jika disabit kesalahan pengilang dan penjual boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM10,000 ringgit atau penjara selama tempoh tidak lebih dari dua tahun.

Sebelum ini Peraturan yang sama telah dikuatkuasakan di negeri Sabah dan kini diperluas di seluruh negara. Penggunaan garam beriodin dalam makanan juga didapati tidak akan menjejaskan dari segi kualiti rasa makanan yang disediakan.

Pada masa yang sama, pengguna juga diingatkan bahawa pengambilan garam tidak perlu ditingkatkan kerana garam secara berlebihan di dalam makanan pula boleh menjurus kepada penyakit tidak berjangkit yang lain misalnya hipertensi (darah tinggi).

Sumber: MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *