Categories
Berita Budaya Kesihatan

LEBIH 500 DITAHAN LANGGAR PKP, PALING RAMAI PENGUNJUNG KELAB MALAM

Hari ke-194 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini, masih ramai yang melanggar peraturan dan pada Sabtu, polis telah menahan 523 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 483 individu telah dikompaun manakala 40 direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti dalam pub dan kelab malam (356), penjarakan fizikal (105), tidak memakai pelitup muka (38).
“Selain itu, kesalahna lain adalah gagal menyediakan peralatan untuk merekod butiran diri (20) dan tangkapan empat pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, Operasi Benteng yang dilakukan semalam juga telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 75 PATI.
“Turut berjaya dirampas tiga kenderaan darat. Sebanyak 98 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan pada Sabtu,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata sejak 24 Julai sehingga 26 September 2020, seramai 35,991 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 67 Hotel dan 9 premis lain.
“Mereka telah pulang dari 33 negara termasuklah Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Laos dan Qatar,” katanya.
Sumber: Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *